malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno S'gor bawa isu rumah mampu milik
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 10:27 AM
Dikemaskini: 3:02 AM
ADS

Isu keperluan asas yang membelenggu rakyat Selangor seperti rumah mampu milik antara yang akan dibangkitkan Umno Selangor pada perhimpunan agung Umno (PAU) tahun ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata isu itu perlu dikongsikan dengan semua perwakilan Umno bagi menunjukkan kegagalan kerajaan negeri pimpinan PKR menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selama sembilan tahun mentadbir Selangor.

“Kita nak bawa isu rumah mampu milik ini kerana masih terdapat rumah mampu milik yang belum dibina kerajaan negeri seperti yang dijanjikan sebelum ini… kita nak kejutkan kerajaan negeri yang selama ini ‘tidur lena’.

“Isnin lepas (13 November), pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) 1Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos bertindak ‘berkampung’ di sebuah taman perumahan di kawasan saya di Semenyih yang hingga kini masih tidak dibina rumah mampu milik meskipun telah dijanjikan oleh kerajaan Selangor sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

PAU 2017 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, mulai 5 hingga 9 Disember depan.

Selain itu, Johan yang juga ADUN Semenyih berkata pada PAU kali ini, Umno Selangor akan turut mengetengahkan isu pusat judi haram yang tumbuh bagai cendawan di negeri itu.

“Kita akan bahaskan supaya rakyat tahu permasalahan ini dan kita ingin membuka mata pihak penguat kuasa di Selangor mengenai kewujudan banyak pusat judi haram termasuk yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga supaya operasi penguatkuasaan dilakukan berhabis-habisan,” katanya.

Mengenai harapan Umno Selangor pada PAU tahun ini, beliau berkata pihaknya mengharapkan satu keputusan muafakat yang cerdik terhasil daripada perhimpunan itu iaitu perpaduan sesama anggota parti.

Jelasnya, perkara itu sangat penting kerana lazimnya apabila hendak menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan berlaku perpecahan dalam parti.

“Adakah kita nak berkuasa dengan kuat atau kemungkinan berkuasa tetapi dalam keadaan lemah? Mesej ini perlu disampaikan kepada semua anggota pada peringkat akar umbi… yang mana satu kita mahu?

“Ada kekalahan kerusi-kerusi tertentu (pada PRU lepas) disebabkan perselisihan faham. Misalnya di Selangor, Parlimen Sepang sepatutnya tidak kalah tetapi kalah… yang bertanding Ketua Umno bahagian, Pemuda Umno bahagian, AJK (anggota jawatankuasa) bahagian...disebabkan apa? (Masalah) dalaman kerana apa? Kerana tiada perpaduan,” katanya.

Pada PRU ke-13 (PRU13), bekas anggota Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed gagal mempertahankan kerusinya selepas tewas kepada calon PAS Mohamed Hanipa Maidin (kini Parti Amanah Negara) dengan majoriti 1,104 undi.

Pada pertandingan empat penjuru itu, Mohd Zin turut ditentang bekas Ketua Pemuda Umno Sepang, Suhaimi Mohd Ghazali dan bekas AJK Umno Sepang, Hanapiah Mohamad yang bertanding atas tiket Bebas.

Ketika ini, daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor, DAP memenangi 14 kerusi, PKR dan PAS masing-masing 13 kerusi, Umno-BN (12 kerusi) dan Parti Amanah Negara serta Bebas masing-masing dua kerusi.

- Bernama

Lihat Komen