malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Guru, polis, tentera antara 20 ditahan biaya pengganas
ADS

Penjawat awam termasuk guru, anggota polis dan tentera merupakan antara 20 individu yang ditahan oleh pihak berkuasa kerana menyumbang wang kepada pengganas.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Unit Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin yang berkata kesemua individu itu telah ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Mereka kumpul duit dan salurkan melalui (perkhidmatan perbankan) Western Union ataupun mesin ATM," katanya.

Menurut Ayob Khan, kesemua 20 orang itu yang datang dari pelbagai latar belakang telah ditahan dibawah POTA dan POCA.

"Kami bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengumpul bukti dan mengesan transaksi yang disalurkan kepada kumpulan pengganas," katanya kepada pemberita pada sidang media ketika sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Pengganas (CTF) Ketiga di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengaku sukar untuk mengesan perkara itu kerana kebanyakan mereka yang terlibat membiayai pengganas mengirimkan wang dalam jumlah kecil dan sukar dikesan.

"Ada dua perkara penting, kita kena dapat bantuan daripada Bank Negara dan good intelligence (risikan yang cekap), jika tidak kita susah nak kesan dan pantau mereka.

"Kalau kita ada intelligence (risikan), kita boleh minta bank negara pantau nombor akaun suspek untuk kumpul bukti," katanya.

Pada sesi pagi, Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan 346 transaksi mencurigakan (STR) berkaitan pembiayaan keganasan dikesan di antara Januari hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, 34 didedahkan untuk tindakan lanjut agensi penguat kuasa termasuk polis.

Ia merupakan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding hanya 93 STR dengan 14 pendedahan bagi 2015.

Sementara itu Ayob Khan berkata pengganas IS kini dikesan bukan lagi bergerak secara individu sebaliknya berkumpulan.

Katanya lagi kumpulan pertama yang dijumpai di negara ini ialah mereka yang mahu mengebom acara “Better beer Festival” Oktober lalu.

Kumpulan pengganas biasanya dianggotai tiga sehingga sepuluh orang yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan pusat pengganas.

"Kita lihat walaupun IS telah hilang pangkalan di Raqqa dan Mosul, tapi ideologinya masih tersebar meluas.

"Kes tangkapan kita pada Oktober (melibatkan) pelajar STPM dan mereka tak pernah ke mana-mana. Mereka tak pernah ke Syria tapi terpengaruh dengan mengunjungi website dan Facebook IS dan belajar buat bom.

"Ini yang kita bimbang, ini yang baru, kalau dulu lone-wolf (bergerak sendiri) tapi sekarang wolf-pack (berkumpulan), tak lebih sepuluh ahli. Sebab ia tiada kaitan dengan kumpulan lain," katanya.

Lihat Komen