malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Lakonan air mata atau mahu pulang awal?'
Diterbitkan:  Nov 22, 2017 9:25 PM
Dikemaskini: 1:53 PM
ADS

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman mempersoalkan tindakan ketua pembangkang, Datuk Nozula Mat Diah yang menangis selepas dihalau pada sesi persidangan terakhir, hari ini. 

"Setelah tamat perbahasan oleh ADUN Kelaboran (Mohamad Zaki Ibrahim) tidak ada seorang ahli dewan bangun untuk membuat perbahasan termasuk Nozula (BN-Paloh).

"Bahkan sepanjang tempoh perbahasan bajet tidak pula kelihatan ADUN Paloh bangun untuk  meminta laluan sama ada sewaktu speaker mengendalikan persidangan ataupun saya," katanya.

Menurut beliau pada sesi perbahasan Bajet 2018 semalam, 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan mengambil bahagian bermula dengan ADUN Melor, Gual Periok, Ayer Lanas, Selising, Gaal, Perupok, Tendong, Kok Lanas, Salor dan berakhir dengan ADUN Kelaboran.

"Seingat saya, Nozula ada bangun mencelah (tanpa kebenaran) sewaktu ADUN Tendong sedang berucap dan saya ada membuat teguran supaya tidak  mencelah kecuali dengan kebenaran speaker dan meminta supaya beliau mengambil bahagian dalam perbahasan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Terdahulu Malaysiakini melaporkan sidang DUN Kelantan kecoh selepas Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya'kub mengarahkan Nozula keluar dewan kerana dianggap melanggar peraturan apabila menganggu sesi penggulungan selepas beberapa kali diberi amaran.

Susulan itu, Nozula mendakwa tindakan speaker menghalaunya sebagai tidak adil dan beliau berhak diberi peluang untuk berucap lebih lama atas kapasiti sebagai ketua pembangkang.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata ketika sidang DUN bersambung sekitar jam 11.30 pagi tadi, Abdullah menjemput pihak kerajaan negeri untuk membuat penggulungan. 

Bagaimanapun katanya, Nozula tiba-tiba bangun untuk berucap dan Abdullah tidak membenarkan kerana sesi perbahasan sudah pun tamat. 

"Setelah lebih tiga kali speaker minta ADUN Paloh duduk, tetapi dia berkeras tidak akan duduk yang akhirnya speaker terpaksa menggunakan Peraturan Dewan 51(2) iaitu “mengundurkan” Nozula daripada persidangan dewan.  

"Sebelum itu Mohamad Zaki mencadangkan supaya dirujuk kepada Peraturan Dewan 47(1) iaitu hendaklah patuh kepada speaker dengan serta merta dan duduk dengan segera. 

"Jadi tidak timbul soal speaker tidak memberi peluang kepada ADUN Paloh berucap, bahkan tuduhan beliau bahawa speaker tidak berlaku adil adalah tidak benar sama sekali kerana daripada sepuluh ahli dewan yang berbahas, empat daripadanya adalah ADUN pembangkang," katanya. 

Tambah beliau, petang tadi ada satu lagi Rang Undang-Undang dibentangkan dan dewan masih mempunyai peluang dan dibenarkan untuk membuat perbahasan.

"Tetapi semua ADUN BN telah pun keluar bersama ADUN Paloh pagi tadi, ini bermakna mereka tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan dan tiada seorang pun ADUN pembangkang berada dalam dewan. 

"Siapa sebenarnya yang tidak adil? Dan siapa sebenarnya bekerja untuk rakyat? 

"Atau ini adalah lakonan air mata ADUN Paloh untuk menghentam pihak kerajaan pada ceramah-ceramah selepas sidang DUN nanti atau memang sengaja kerana mahu pulang awal?" soal Abdul Latiff yang juga ADUN Mengkebang. 

Lihat Komen