malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mohd Amar nafi dakwaan Husam isu kelulusan tanah
ADS

Kerajaan Kelantan hari ini menafikan dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa mengenai isu kelulusan tanah seluas 5,500 ekar yang dibangkitkan sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, permohonan tanah di Kuala Pahi, Kuala Krai itu dibuat oleh tiga syarikat melalui syarikat Akademi Yakin Sdn Bhd dan belum diluluskan sehingga sekarang.

"Tiga syarikat ini telah kemukakan cadangan kepada Akademi Yakin, kebetulan saya pengerusinya. Menjadi kebiasaan kita mana-mana pelabur yang berminat mereka perlu mencari tanah dan mencadangkan projek kepada agensi-agensi kerajaan negeri.

"Apabila kita buat perbincangan dengan mengambil kira latar belakang syarikat, Lembaga Pengarah (Akademi Yakin) berpuas hati dengan kesungguhan dan kemampuan syarikat serta meluluskan projek ladang kelapa sawit.

"Maka Akademi Yakin buat permohonan kepada PTG (Pejabat Tanah dan Galian) dan (kini) masih di peringkat permohonan, " katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Husam yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa berlakunya kelulusan kawasan hutan seluas 5,500 ekar oleh kerajaan negeri kepada tiga syarikat yang dimiliki pihak yang sama.

Malah menurutnya, hasil penjualan tanah kepada syarikat tersebut dikatakan turut dijadikan dana untuk membeli tanah Wisma Tok Guru di Salor.

Sementara itu Mohd Amar berkata, Akademi Yakin telah mengarahkan syarikat berkenaan supaya membayar wang premium tanah bernilai RM4.7 juta kepada PTG sebagai proses pertimbangan projek itu sebelum dilaksanakan.

Katanya, pembayaran premium tanah itu juga sebagai salah satu cara untuk mengenalpasti kemampuan kewangan syarikat tersebut.

"Itu cara kita nak nilai kemampuan syarikat, kalau dia tak bayar maka berhenti setakat itu sajalah.

"Jadi isu ini tak berbangkit kerana masih di peringkat permohonan, kerajaan negeri tak luluskan lagi," katanya yang juga ADUN Panchor.

Tambah beliau, soal kerajaan negeri tidak mengeluarkan tender terbuka juga tidak berbangkit kerana ia amalan biasa apabila syarikat itu sendiri berusaha mencari tanah untuk dilaksanakan projek.

"Tak kan orang lain susah payah cari tanah, kita nak buat tender terbuka. Itu tidak betul.

"Lainlah kalau tanah tersebut ada kayu (balak) yang perlu dikeluarkan (tebang), kerajaan menetapkan kayu itu perlu ditender, " katanya.

Lihat Komen