malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP: Beku projek mewah tak tangani punca masalah
Diterbitkan:  Nov 22, 2017 2:54 PM
Dikemaskini: 7:00 AM
ADS

Keputusan kabinet untuk membekukan kelulusan projek hartanah mewah di Kuala Lumpur hanyalah reaksi spontan yang tidak menangani punca sebenar masalah lambakan hartanah, kata anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Beliau berkata, moratorium kerajaan itu hanya meliputi hartanah berharga RM1 juta ke atas, sedangkan Bank Negara Malaysia menggunakan harga RM250,000 sebagai kayu ukur hartanah yang tak mampu dimiliki kebanyakan rakyat.

Katanya lagi, Bank Negara juga dengan jelas berkata Johor bakal menjadi negeri paling teruk berhadapan masalah itu, tetapi arahan kabinet itu hanya melibatkan Kuala Lumpur.

Skim perumahan PR1MA pula kebanyakannya melibatkan rumah berharga sekitar RM400,000, yang menurut dapatan Bank Negara tidak masih dalam kategori tidak mampu dimiliki, katanya lagi.

Justeru, Pua menyifatkan Kabinet gagal memikirkan pendekatan yang betul sebagai respon kepada laporan Bank Negara.

"Kami menggesa menteri kewangan bukan sahaja menerangkan keputusan 'larangan sementara' yang mengarut ini, tetapi menjelaskan bagaimana larangan itu mampu benar-benar menyelesaikan 'ketidakseimbangan bekalan-permintaan' dalam sektor hartanah.

"Beliau juga perlu sedar yang enam cadangan Bank Negara untuk menyelesaikan masalah ini tidak melibatkan larangan terhadap sebarang jenis pembangunan.

"Jika tidak, kesan tidak diingini daripada langkah itu akan memburukkan lagi kesan kepada ekonomi kita yang sedia lemah," katanya dalam kenyataan.

'Pemaju terlalu bodoh?'

Buletin suku tahun Bank Negara mingglu lalu memberi amaran Malaysia kini berhadapan lambakan hartanah dengan banyak hartanah kediaman tidak terjual dan ruang komersial yang kosong.

Menurut Bank Negara, negeri yang paling teruk berhadapan masalah itu adalah Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

Bank Negara juga meramalkan satu daripada tiga ruang pejabat di Lembah Klang tidak akan didiami menjelang 2021.

Susulan itu, Kabinet pada 18 November lalu mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menghentikan kelulusan bagi projek pembangunan mewah.

Pua berkata kerajaan harus mengkaji sebab sebenar mengapa pemaju perumahan terus membina projek mewah, di sebalik lambakan hartanah sedia ada.

"Adakah pemaju sebodoh itu untuk melabur di projek yang tidak akan laku? Adakah Kementerian Kewangan telah mengkaji sama ada larangan itu akan mengalihkan pelaburan kepada projek mampu milik?

"Jika tidak, adakah larangan hanya menghentikan kegiatan hartanah dan pembinaan dan mencetuskan kelembapan ekonomi dan penurunan peluang pekerjaan?" soalnya lagi.

Lihat Komen