malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ATM, tentera AS latihan bersama dalam Eksesais Tiger Strike
ADS

Pewujudan kerjasama antarabangsa serta komitmen kolektif pertahanan dunia penting dalam mencegah keganasan dan ekstremisme daripada berkembang di rantau ini khususnya di perairan Sulu.

Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan berkata cegah keganasan dan cegah ekstremisme itu boleh dilakukan secara bersama menerusi pendekatan termasuk latihan ketenteraan dua hala seperti Eksesais Tiger Strike yang melibatkan tiga cabang perkhidmatan ATM - Darat, Udara dan Laut bersama pasukan tentera Amerika Syarikat.

"Latihan ketenteraan peringkat antarabangsa ini juga sebagai elemen ‘show of force’ kepada musuh bahawa Malaysia dan negara dunia serius menangani keganasan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan simulasi Eksesais Tiger Strike di Pantai Kampung Tanduo kira-kira 110 kilometer dari Lahad Datu di Sabah, hari ini.

Eksesais yang bermula sejak 16 November lepas dan berakhir 23 November itu melibatkan 327 anggota daripada tiga cabang perkhidmatan ATM - Darat, Udara dan Laut serta 129 anggota tentera Amerika Syarikat daripada 1st Marine Regiment United States Marine Corp (USMC) di samping United States Special Forces (USSOF) Green Beret.

Sheikh Mokhsin berkata Eksesais Tiger Strike direka untuk berkongsi kepakaran ketenteraan, memperkukuhkan kekuatan tempur, keupayaan hubungan komunikasi, merancang serta melaksanakan operasi amfibi, selain dapat mengukuhkan hubungan serta jaringan keselamatan antara negara.

Jaringan keselamatan, manfaat bersama

Menurutnya, ATM tidak tertakluk menjalani latihan bersama Amerika Syarikat tetapi turut berlatih bersama New Zealand, Australia, Thailand, Indonesia, Singapura dan United Kingdom.

"Kita belajar kepakaran mereka, tengok kemampuan mereka termasuk persenjataan mereka.

"Seiring dengan perubahan era dunia kita perlu berlatih bersama dan di masa hadapan sekiranya negara dalam kesusahan, hubungan negara berdasarkan jaringan keselamatan ini dapat kita manfaatkan bersama," katanya lagi.

Hari ini, simulasi Eksesais Tiger Strike di pantai Tanduo itu menyaksikan sekumpulan anggota tentera Malaysia daripada Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia dan Green Beret Amerika Syarikat melakukan terjunan udara, manakala bot-bot tempur TLDM yang membawa anggota Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan USMC merapati pantai serta mengambil kedudukan untuk menyerang.

Serangan bermula apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meletupkan bom ke kawasan sasaran pengganas sebelum artileri dan berdas-das tembakan dilepaskan daripada anggota RAMD dan Paskal yang menggegarkan pantai Tanduo.

 

-Bernama

Lihat Komen