malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Daftar parti pun gagal, macam mana nak urus negara?
ADS

PAS menyifatkan kegagalan Pakatan Harapan (HARAPAN) mendaftarkan gabungan parti itu menunjukkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal menguruskan partinya sendiri.

Naib Presiden PAS Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata keadaan itu juga membuktikan HARAPAN tidak mampu mentadbir negara.

"Tidak sepatutnya seorang pemimpin yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun tiba-tiba nak urus pendaftaran parti pun tak boleh selesai.

"Macam mana nak urus negara? Sampai mesyuarat agung (BERSATU) pun hanya 12 orang yang hadir," katanya yang juga menteri besar Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Kementerian Dalam Negeri mendakwa masalah dihadapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan DAP menjadi punca kelewatan pendaftaran HARAPAN.

Mahathir yang juga pengerusi HARAPAN mengesahkan alasan itu disampaikan kepadanya susulan pertemuan dengan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, semalam.

Mengulas lanjut Nik Amar berkata isu kegagalan HARAPAN mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mempamerkan kelemahan Mahathir sebagai seorang pemimpin.

"Kalau parti dia sendiri pun tak boleh nak urus, kata nak tukar kerajaan. Macam mana nak uruskan Malaysia?

"Kalau tanya, mereka ini lebih baik tidak ada. Biar PAS sajalah yang lawan BN, senang," katanya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, ROS tidak boleh meluluskan permohonan pendaftaran HARAPAN kerana masih terdapat beberapa perkara yang belum diselesaikan oleh dua parti dalam gabungan pembangkang itu.

Katanya, setakat ini, ROS masih belum menerima laporan akhir termasuk senarai terkini pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dilaksanakan pada 12 November lalu.

Selain itu, kata Ahmad Zahid, BERSATU pula masih gagal mengadakan perhimpunan agung selepas parti itu ditubuhkan tahun lalu.

Sebelum ini, pada 21 Oktober lalu, Mahathir mendakwa ROS belum menjawab permohonan HARAPAN untuk mendaftarkan DAP, PKR, BERSATU dan AMANAH sebagai satu gabungan rasmi.

Lihat Komen