malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azmin: Sejauh mana berkesannya wasatiyyah?
ADS

PARLIMEN | Berdasarkan Indeks Syariah Malaysia (ISM), negara berada pada tahap "begitu selesa" dalam aspek pelaksanaan prinsip maqasid syariah dan wasatiyyah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berhubung kejayaan dan konsep wasatiyyah seperti yang didakwa kerajaan.

Azmin berkata, ini kerana pada sama berlaku beberapa kontroversi yang dilihat bertentangan dengan dakwaan kerajaan itu seperti isu 'dobi muslim sahaja' di Johor dan penceramah kontroversi Zakir Naik dan Zamihan Mat Zin.

"Kuala Kangsar mendakwa perdana menteri berjaya bawa konsep wasatiyyah. Saya nak tanya di manakah keberkesanannya?

"Kita melihat insiden (seperti) dobi untuk muslim sahaja, tindakan pegawai Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) Zamihan Mat Zin yang menghina Raja-raja Melayu.

"Kita juga lihat larangan wanita bertudung (bekerja) di hotel. Di manakah keberkesanan wasatiyyah sedangkan insiden ini mendapat sokongan kerajaan, seperti pendakwah bebas Zakir Naik yang mendapat sokongan timbalan perdana menteri?" kata Azmin yang juga menteri besar Selangor.

Menjawab pertanyaan itu, Jamil mengakui berlaku beberapa insiden yang perlu diberi perhatian tetapi ia tidak bermakna konsep itu gagal.

"Kita ada ISM yang menjadi kayu ukur kejayaan yang telah kita capai," katanya yang merupakan anggota parlimen Jerai.

"Kita tidak lihat satu, dua insiden sahaja...kita mengukur pelaksanaan kementerian dalam melaksanakan maqasid syariah dan wasatiyyah.

"Kita telah mencapai (tahap) yang begitu selesa, berdasarkan kayu ukur (ISM) oleh lebih 100 profesor melibatkan lapan universiti," katanya lagi.
 

Lihat Komen