malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Dr M, Muhyiddin, Anwar adalah penghalang UEC'
Diterbitkan:  Nov 21, 2017 12:11 PM
Dikemaskini: 4:14 AM
ADS

MCA mendakwa bahawa sekutu DAP sekarang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi penghalang kepada pengiktirafan Sijil Peperiksaan United (UEC) apabila ketiga-tiga mereka berada dalam kerajaan.

Bertentangan dengan dakwaan ahli parlimen DAP, jurucakap publisiti MCA Datuk Seri Ti Lian Ker berkata Umno di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersedia mempertimbang untuk mengiktiraf UEC.

Dalam satu kenyataan media pagi tadi, beliau berkata DAP tidak sepatutnya bercakap bagi pihak BERSATU seperti yang berlaku terhadap PAS pada masa lalu.

"DAP mempunyai tabiat bercakap bagi pihak orang lain seolah-olah mereka adalah ketua dan menentukan segala-galanya.

"Jika itu adalah bayangan yang mereka cuba berikan kepada pengundi Cina, kebenarannya jauh daripada kenyataan," katanya.

Ti mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang mendakwa bahawa Umno adalah penghalang terbesar kepada UEC dan menggesa pemimpin MCA supaya "mencerminkan diri" sebelum menjadikan DAP sebagai sasaran.

Beliau juga berkata UEC telah diiktiraf di negeri-negeri Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor manakala negeri yang diterajui BN, selain Sarawak, tidak berbuat demikian.

Teo juga mendakwa bahawa pengiktirafan UEC dimasukkan sebagai manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat, dan tidak ada sebab untuk meragui ia sekali lagi dimasukkan dalam manifesto HARAPAN pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Ti "menasihatkan" wakil rakyat DAP untuk membiarkan Mahathir, yang merupakan pengerusi HARAPAN, bercakap sendiri mengenai pengiktirafan UEC.

"Soalan saya diarahkan kepada pemimpin itu dan rakyat mahu mendengar daripadanya sendiri jika dia sudah berubah fikirannya atau dia 'mudah lupa' apabila mengambil alih kuasa di Putrajaya nanti," katanya.

Ti juga mengingatkan Teo bahawa Pakatan Rakyat kini sudah terkubur dan semua janji dalam Buku Jingga atau manifesto pilihan raya PRU13, ketika ini tidak lagi terpakai.

Dalam ulasan awalnya mengenai isu itu, yang mendorong Teo untuk menjawap, pemimpin MCA berkenaan juga merujuk kepada ucapan Muhyiddin mengenai UEC awal tahun ini.

Pada 10 Januari, The Star dan Malay Mail Online memetik Muhyiddin, yang merupakan mantan menteri pendidikan, memberi amaran bahawa HARAPAN tidak seharusnya dijangka mengiktiraf UEC jika ia berkuasa.

Laporan itu berdasarkan temu bualnya dengan akhbar Sin Chew Daily.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen