malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
‘Amalan budaya kaizen untuk industri pelancongan kekal relevan’
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan menggalakkan Malaysia Tourism Council (MTC) mengamalkan budaya “kaizen” bagi membolehkan industri pelancongan negara kekal relevan.

Berucap pada Majlis Malaysia Tourism Council Gold Awards 2017 Gala Dinner di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam semalam, beliau berkata melalui budaya kaizen atau “berubah demi kebaikan” itu, MTC perlu mengetuai dan menyelaras kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai industri pelancongan negara.

"Dalam apa jua persaingan industri kita harus terus melakukan penambahbaikan bagi memastikan kita kekal relevan dan berjaya.

"Inilah falsafah industri Jepun yang menjadi tunjang kejayaan beterusan mereka dan juga telah menjadi ikutan masyarakat dunia iaitu falsafah 'kaizen' atau penambahbaikan yang berterusan.

"Kita harus menghayati falsafah ini untuk terus memajukan industri pelancongan negara kita dan untuk kita menghayati amalan kaizen ini ada satu perkara penting yang perlu lakukan iaitu kajian dan pembangunan yang akhirnya nanti akan menghasilkan inovasi, produk dan perkhidmatan dalam industri pelancongan kita.

"Untuk tujuan itu saya ingin mencadangan supaya MTC mengambil langkah awal mengetuai dan menyelaraskan aktiviti R&D dalam sektor pelancongan di negara kita ini," kata Abdul Rahman.

Menurutnya, amalan melakukan penyelidikan di sektor pelancongan ini mungkin tidak lazim namun ia amat penting untuk para pemain industri memahami pendekatan dan strategi baru untuk menarik pelanggan.

"Tanpa kajian dan penyelidikan kita tidak akan faham tentang citarasa muktahir pelanggan datau tidak akan memahami tren pasaran semasa dan akhirnya kita tidak akan dapat memperolehi maklumat dan maklum balas tentang perkhidmatan kita kepada pelanggan.

"Justeru, kajian dan penyelikan adalah amat penting untuk memastikan amalan Kaizen ini dibudayakan dalam industri pelancongan," katanya.

Beliau berkata, untuk melakukan R&D mungkin suatu yang sukar bagi sesebuah syarikat berkaitan pelancongan namun pelaksanaan tersebut boleh dijalankan dengan kerjasama dengan Kemneterian Pelancongan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya percaya tidak mungkin sebuah syarikat yang berkaitan dengan pelancongan di negara kita mempunyai berkemampunan untuk kerja R&D namun R&D ini boleh dilakukan jika kita berpakat sesama kita seperti kementerian pelancongan dan kementeian pengajian tinggi dan MTC.

"Saya yakin industri ini akan pergi lebih jauh dan pihak kerajaan akan sentiasa beri sokongan kepada mereka yang berhasrat menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan yang akan menjurus kepada kemajuan insdustri negara dan saya yakin industri pelancongan tidak berkecuali

Abdul Rahman yang juga anggota parlimen Kota Belud berkata MTC juga dipelawa untuk berbincang mengenainya dengan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, Abdul Rahman berkata MTC yang merupakan badan gabungan pelbagai persatuan dan sektor juga wajar memberikan penghargaan kepada pemain industri pelancongan negara sebagai suatu inisiatif bagi menggalakkan kualiti perkhidmatan serta pembangunan pelancongan di Malaysia.

Katanya, melalui anugerah berkenaan akan menjadi mercu tanda kepada kecemerlangan pencapaian dan sumbangan pemain utama dalam industri pelancongan negara.

Hadir sama Presiden MTC, Uzaidi Udanis dan Pengerusi Penganjur MTC Gold Awards 2017, Datuk Sahariman Hamdan serta beberapa tetamu kehormat dalam industri pelancongan Malaysia.

Anugerah tersebut dianjurkan bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penggiat industri pelancongan di dalam dan luar negara atas kecemerlangan membangunkan produk dan perkhidmatan yang inovatif.

Pullman Putrajaya Lakeside, hotel bertaraf lima bintang di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, merangkul dua daripada 39 anugerah yang dipertandingkan menerusi Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) 2017.

Anugerah tersebut adalah ‘Gold Award 5 Star Resort Cyberjaya/Putrajaya’ dan ‘Gold Award Service Excellent’ manakala satu lagi anugerah iaitu ‘Fastest Growing International Hotel Group’ dimenangi Hotel Accor yang merupakan badan pengurusan Pullman Putrajaya Lakeside.

Lihat Komen