malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'LHDN sewa bangunan RM680,000 sebulan'
Diterbitkan:  Nov 21, 2017 9:36 AM
Dikemaskini: 4:27 AM
ADS

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyewa bangunan Menara CDO di Kuantan berdasarkan kadar pasaran sewaan bangunan pejabat di sekitarnya, kata Kementerian Kewangan.

Menurut kementerian itu, kadar berkenaan juga ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Perkara itu dinyatakan Kementerian Kewangan ketika menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang meminta kementerian itu menyatakan rasional bangunan LHDN disewa dengan bayaran RM680,000 sebulan.

"Rasional keputusan menyewa Bangunan CDO adalah disebabkan ruang pejabat lama di Kuantan Centre Point yang diduduki sejak 2001 tidak lagi mampu menampung pertambahan bilangan staf, pelanggan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh LHDN saban hari.

"Oleh itu, penyewaan bangunan CDO adalah sesuai kerana bangunan ini berkeluasan 203,455.47 kaki persegi merangkumi 13 tingkat ruang pejabat dan 2 tingkat parkir bawah tanah bagi menempatkan pejabat pengarah negeri Pahang, LHDNM cawangan Kuantan dan LHDNM cawangan siasatan Kuantan," jelas kementerian itu.

Menurutnya, bangunan itu juga mampu menyediakan ruang kerja kepada 260 orang pegawai termasuk pegawai sambilan dan pegawai kontrak di samping menyediakan kemudahan yang lebih kondusif kepada pelangan yang berurusan dengan LHDN.

"Bayaran kadar sewaan adalah meliputi sewaan ruang pejabat, perabot dan peralatan, insuran kebakaran, pembaikan kerosakan dalaman dan luaran bangunan, penyelenggaraan ruang pejabat, bayaran cukai pintu dan cukai tanah, penyediaan parkir bawah tanah bangunan serta kelengkapan lain seperti sistem keselamatan, sistem teknologi maklumat dan sistem elektronik voltan rendah," jelasnya.

Menara CDO dimiliki oleh sebuah firma swasta, CDO Resources Sdn Bhd.

Ketika dihubungi, Fuziah mempersoalkan mengapa LHDN menyewa dari syarikat swasta dan bukannya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau firma milik kerajaan.

"Atau mengapa tidak LHDN mengambil tanah dari kerajaan negeri Pahang dan membina sebuah pejabat?

"RM680,000 sebulan adalah jumlah wang yang banyak," katanya.

Lihat Komen