malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Daerah Hilir Perak siap sedia hadapi banjir
ADS

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak sudah membuat persediaan sepenuhnya bagi menghadapi banjir di Teluk Intan yang kini mulai memasuki fasa musim tengkujuh, kata Anggota Parlimen Teluk Intan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Mah yang juga presiden Gerakan berkata persediaan awal perlu dibuat memandangkan terdapat beberapa kawasan rendah di Teluk Intan seperti di Changkat Jong, Batak Rabit dan Pasir Bedamar berisiko dilanda banjir.

"Saya telah bertemu pegawai daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan meminta mereka lakukan persediaan awal kerana dikhuatiri kira-kira 5,000 penduduk di kawasan terlibat boleh terjejas akibat banjir,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat persediaan awal hadapi banjir bersempena lawatan rasminya ke beberapa agensi kerajaan di Teluk Intan, hari ini.

Katanya JPS Hilir Perak turut menyatakan dua tarikh kemungkinan paras air sungai lebih tinggi berbanding kebiasaan iaitu pada 4 Disember 2017 ini dijangka setinggi 3.3 meter dan 2 Januari tahun hadapan (3.2 meter) dan dikhuatiri jika berlaku hujan lebat pada tarikh berkenaan akan menyebabkan kebanyakan kawasan di Teluk Intan terjejas banjir.

Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata sehubungan itu boleh telah meminta agensi keselamatan relevan melakukan rondaan secara berkala dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi dilanda banjir.

Selain itu, beliau turut meminta JPS memantau sistem perparitan dan benteng ban pesisir sungai agar berada dalam keadaan baik manakala Jawatankuasa Pengurusan Bencana mengenal pasti tempat untuk dibuka sebagai pusat pemindahan.

-Bernama

Lihat Komen