malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi jangka PRU antara April hingga Julai tahun depan
ADS

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan antara pertengahan April hingga akhir Julai tahun depan.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan tinjauan bulanan di seluruh negara oleh pusat penyelidikan pilihan raya Invoke, yang mendapati Datuk Seri Najib Razak kini mempunyai tahap sokongan yang rendah.

"Sebabnya ialah Najib tidak ada peluang untuk memanggilnya sekarang. Sokongannya tidak baik.

"Dia perlukan dua, tiga bulan untuk menaikkan sokongan dan satu-satu tempoh yang tinggal ialah antara April hingga Julai," katanya dalam ucapan di Subang Jaya malam tadi.

Katanya, walaupun Najib mempunyai hak mengadakan pilihan raya awal, namun tindakan demikian akan menyebabkan risiko kekalahan kepada BN.

Acara malam tadi sepatutnya menyaksikan 30 bakal calon PRU menandatangani akujanji bersama Invoke.

Sebahagian daripada perjanjian itu menyatakan Invoke akan menyediakan sukarelawan dan analisis data untuk menyokong kempen calon-calon berkenaan, sekiranya mereka bertanding dalam pilihan raya.

Sebagai balasan, calon-calon tersebut perlu mengisytiharkan harta secara terbuka setiap tahun dan komited kepada agenda reformasi.

Calon yang gagal berbuat demikian akan dianggap melanggar perjanjian dan dikehendaki membayar RM20 juta ke dalam tabung amanah yang akan ditubuhkan oleh Invoke untuk memberikan biasiswa kepada pelajar dari keluarga miskin.

Bagaimanapun hanya 25 calon hadir, manakala bakinya masih bersetuju dengan syarat berkenaan tetapi tidak dapat hadir kerana pelbagai sebab.

Rafizi berkata akan ada lebih banyak acara seperti malam tadi setiap bulan sehingga PRU diadakan. Mengikut undang-undang, pilihan raya perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

Sementara itu, Rafizi berkata tinjauan bulanan Invoke yang dijalankan pada November mendapati hanya 39 peratus responden berkata mereka akan mengundi BN sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru.

Angka itu berlegar sekitar 40 peratus sejak Januari tahun ini.

"Dengan hanya 39 peratus undi - bermakna 61 peratus menolak BN - Najib tidak berani memanggil pilihan raya," katanya.

Lihat Komen