malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Johor cadang beberapa langkah atasi lambakan rumah tak terjual
ADS

Kerajaan Johor akan mencadangkan beberapa langkah kepada kerajaan pusat untuk mengatasi masalah lambakan hartanah yang tidak terjual di negeri ini.

Cadangan itu antaranya mengurangkan kadar minimum pemilikan hartanah oleh warga asing serta menetapkan harga rumah kepada warga asing mengikut keluasan kediaman, sebagai contoh 1,000 kaki persegi untuk harga RM1 juta.

Cadangan dibuat sehari selepas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan bahawa pihaknya akan mengkaji punca dan faktor sebenar yang menyumbang kepada permasalahan banyak rumah di negeri ini tidak terjual.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday berkata cadangan itu bagaimanapun akan dikaji secara teliti sebelum dikemukakan kepada kerajaan pusat.

Pada masa sama, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mengurangkan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran hartanah tempatan.

“Fokus utama kita adalah perkara ini, kerana kita mahu memastikan rumah-rumah ini terjual, tetapi apa jua keputusan, kita perlu minta pandangan daripada kerajaan pusat kerana ini adalah dasar yang telah ditetapkan oleh mereka,” katanya selepas menghadiri perasmian Hari Landskap Johor 2017 yang disempurnakan oleh Mohamed Khaled di Sireh Park di Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan BNM baru-baru ini yang mengesahkan wujud ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran pasaran hartanah negara susulan harga rumah yang lebih tinggi berbanding kemampuan isi rumah Malaysia.

Dalam laporan itu, Johor juga disebut mempunyai jumlah unit kediaman terbesar tidak terjual iaitu sebanyak 27 peratus berbanding Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus).

Md Jais berkata kerajaan negeri harus berlaku adil kepada pemaju-pemaju perumahan yang selama ini turut membantu pihaknya menjayakan projek-projek rumah mampu milik.

Semalam, Mohamed Khaled dilaporkan sebagai berkata permasalahan rumah yang banyak tidak terjual di negeri ini mungkin pada awalnya disebabkan dasar kerajaan pusat pada 2015 yang menetapkan hanya rumah berharga RM1 juta dan ke atas boleh dijual kepada warga asing.

-Bernama

Lihat Komen