malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Giliran Zahid pula ziarah Anwar
Diterbitkan:  Nov 18, 2017 6:12 PM
Dikemaskini: 10:47 AM
ADS

Hari ini giliran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur (HKL), selepas Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor semalam.

Beliau berkongsi gambar kunjungannya itu di laman Facebooknya.

Zahid hadir bersama isterinya Datin Seri Hamidah Khamis, sementara Anwar ditemani dua anaknya, Nurul Nuha dan Nurul Ilham.

"Baru sahaja menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim yg selesai menjalani pembedahan bahu kanan di HKL baru-baru ini. Semoga beliau cepat sembuh," katanya.

Ketua umum PKR itu menjalani pembedahan itu Ahad lalu ekoran masalah di bahunya.

Menerusi kenyataan di Facebook, keluarga Anwar berkata Nurul Nuha dan Nurul Ilham mewakili Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyambut kunjungan Zahid, memandangkan presiden PKR itu kini berada di Kuantan, Pahang, atas urusan parti.

"Timbalan perdana menteri menanyakan kesihatan dan rawatan susulan. Ayah kami mengulangi penghargaan (kepada) pihak hospital dan penjara yang membantu mengurus rawatan beliau," kata kenyataan itu.

Keadaan bahu Anwar dikatakan semakin buruk selepas terlibat dalam kemalangan pada 22 September lalu, ketika dalam perjalanan dari HKL untuk pulang ke Penjara Sungai Buloh.

Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun dibenarkan keluar sementara untuk menerima rawatan di hospital.

Namun, keluarganya memohon kepada kerajaan agar membenarkan beliau berada di kemudahan perubatan di luar penjara untuk menjalani rawatan, selama mana yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya.

"(Ia) seperti yang dicadangkan panel doktor yang merawat beliau," kata anak lelakinya Muhamad Ihsan dalam kenyataan, semalam.

 

Lihat Komen