malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
China AS setuju CoC Laut China Selatan dimula tahun depan
Diterbitkan:  Nov 18, 2017 1:39 PM
Dikemaskini: 5:48 AM
ADS

China dan Amerika Syarikat bersependapat bahawa rundingan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan perlu dimulakan tahun depan bagi menjamin keamanan dan keselamatan di lautan itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengetengahkan isu mengenai Laut China Selatan pada Sidang Kemuncak ASEAN-China di Manila, Filipina, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 baru-baru ini.

“Pelaksanaan CoC perlu diteruskan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan, kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan.

“Kita berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam taklimat media pasca Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di Putrajaya.

CoC merupakan satu dokumen mengenai kod tatalaku negara-negara anggota ASEAN dan China di Laut China Selatan. Ia merupakan satu daripada elemen yang dipersetujui oleh negara-negara ASEAN dan China melalui Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) adalah untuk berusaha ke arah mewujudkan CoC.

Rangka Kerja CoC telah diperakui pada Ogos tahun ini semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN.

Sementara itu, Anifah berkata Najib juga mengetengahkan isu berhubung ujian pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara pada Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Manila itu.

Beliau berkata Malaysia berharap republik itu akan kembali ke meja perundingan dan mencegah Pyongyang meneruskan program senjatanya yang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya pemimpin-pemimpin negara yang hadir telah menyuarakan ia adalah isu penting kerana ia akan menggugat keamanan dan kestabilan di rantau ini.

"Oleh itu, kita berharap Korea Utara menghormati resolusi-resolusi PBB. Kita berharap mereka akan kembali berunding di bawah Rundingan Enam Pihak.
​​​
“Kita menaruh harapan China dapat mempengaruhi Korea Utara,” katanya.

Sementara itu, Anifah berkata Najib disokong Presiden Indonesia Joko Widodo juga membangkitkan isu diskriminasi oleh Parlimen Eropah ke atas pemasaran kelapa sawit ke pasaran Kesatuan Eropah (EU) pada Sidang Kemuncak ASEAN-EU yang turut dihadiri Presiden EU, Donald Tusk.

Menurutnya, isu kelapa sawit akan menjejaskan lebih 600,000 pekebun kecil di Malaysia manakala di Indonesia terdapat lebih 17.5 juta pekebun kecil yang akan terjejas.

Beliau berkata presiden EU telah memberi jaminan peribadi beliau untuk meneliti perkara tersebut serta mencari pendekatan yang boleh diambil dalam jangka pendek.

Secara kolektif, Malaysia dan Indonesia menyumbang lebih RM57 bilion pengeluaran minyak sawit global pada tahun lalu.

Pada April lalu, Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

Ketetapan itu menekankan keperluan pensijilan tunggal pasaran eksport minyak sawit ke Eropah yang perlu dihasilkan secara lestari tanpa melibatkan aktiviti penebangan hutan dan resolusi itu turut melabelkan skim pensijilan sedia ada sebagai tidak memenuhi syarat dan piawaian antarabangsa.

- Bernama
 

Lihat Komen