malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saman fitnah Sivarasa terhadap Ku Nan ditetap 25 Jun depan
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan empat hari mulai 25 Jun tahun hadapan untuk perbicaraan kes saman fitnah Anggota Parlimen Subang Sivarasa Rasiah terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sivarasa memfailkan saman tersebut pada 13 Jun berikutan kenyataan Tengku Adnan yang mendakwa beliau berceramah politik di Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang pada bulan Mei.

Tarikh ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas pengurusan kes hari ini.

Sivarasa diwakili peguam Latheefa Koya manakala SS Ruban mewakili Tengku Adnan.

Sivarasa (gambar) mendakwa kenyataan Tengku Adnan itu berniat jahat.

"Dia tahu bahawa saya telah menafikannya dalam kenyataan akhbar saya terdahulu yang dilaporkan secara meluas. Kenyataan palsu beliau menunjukkan bahawa saya mempunyai niat untuk menggunakan masjid bagi tujuan politik dan tidak menghormati masjid,"katanya.

Lawatan Sivarasa ke masjid itu pada 24 Mei lalu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pemimpin PKR berkenaan kemudian meminta maaf kepada Sultan Selangor dalam sepucuk surat dan menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku semasa program itu yang bukan merupakan acara politik.

"Dalam surat itu, saya telah menjelaskan kepada sultan bahawa ucapan saya bukan ceramah, tidak juga ucapan politik," katanya.

Sivarasa juga mendakwa beliau mempunyai video ucapan Ku Nan di mana menteri itu menyifatkan beliau sebagai "ketagih yang pergi ke tempat-tempat judi".

"Ini akan ditunjukkan di mahkamah melalui rakaman video ucapannya," katanya sambil menambah beliau akan menunggu untuk melihat bagaimana Tengku Adnan akan membuktikan tuduhan palsu dan berniat jahat terhadapnya.

Tengku Adnan telah memfailkan pembelaannya untuk saman tersebut manakala Sivarasa juga telah memberikan jawapan balas terhadap pembelaan menteri berkenaan.

Latheefa berkata pengurusan kes itu telah ditetapkan pada 25 Januari.

Lihat Komen