malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ongkili: Pengambilalihan IPP oleh 1MDB tak sebabkan kenaikan tarif
ADS

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pengambilalihan tiga syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) lima tahun lepas tidak menyebabkan kenaikan tarif elektrik di negara ini.

Beliau berkata, malah, pengambilalihan itu membolehkan kerajaan menjimatkan berjuta-juta ringgit daripada segi kos.

Ketika menjawab kenyataan anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua baru-baru ini bahawa penjelasan beliau mengenai perkara itu di parlimen adalah tidak masuk akal, Ongkili berkata setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu seolah-olah mahu terus melemparkan tuduhan jahat terhadap kerajaan.

"Saya telah mengedarkan transkrip hansard ucapan penggulungan saya untuk kementerian saya di parlimen kepada media dua hari lepas sebagai tindak balas kepada kenyataan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara itu ketika membahaskan Bajet 2018 semasa persidangan Dewan Rakyat.

"Saya telah menyatakan bahawa pengambilalihan itu sebenarnya membantu mengurangkan tarif elektrik dan saya juga telah menjelaskan bahawa IPP terlibat dalam menyemak semula tarif untuk dikurangkan lima tahun lalu sebelum saya mengambil alih kementerian,” kata beliau.

Ongkili diminta oleh pemberita selepas majlis makan tengah hari Parti Bersatu Sabah bersama media di Kota Kinabalu hari ini untuk mengulas kenyataan Pua sselepas ucapan penggulungan menteri itu yang mendakwa Ongkili mengesahkan bahawa 1MDB tidak mempunyai peranan dalam mengurangkan tarif elektrik atau kos.

1MDB mengambilalih Powertek Energy Sdn Bhd (dahulunyaTanjong Energy Holdings Sdn Bhd), Stesen Janakuasa Kuala Langat (dahulu Genting Sanyen) dan Jimah Power pada 2012.

Ongkili menegaskan bahawa kerajaan hanya akan berunding dengan IPP untuk mengurangkan tarif elektrik setiap kali ada semakan mengenai perkara tersebut. -Bernama

Lihat Komen