malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Ya saya boleh isytihar harta, tapi...
ADS

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikritik kerana didakwa mengumpul kekayaan selama 22 tahun menjadi perdana menteri mengatakan kesediaan untuk mengisytiharkan hartanya .

Bagaimanapun ahli politik berusia 92 tahun itu berkata beliau tidak tahu sama ada dirinya akan menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

"Ya. Saya boleh isytiharkan harta saya tetapi saya tak tahu sama ada saya akan jadi calon atau tidak? Kamu mahu saya jadi calon?"soalnya semasa sidang akhbar di parlimen petang ini.

Mahathir ditanya sama ada calon HARAPAN akan mengikut jejak langkah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengisyitiharkan hartanya.

Terdahulu, Rafizi berkata kira-kira 30 calon pilihan raya HARAPAN, termasuk penyandang dijangka mengisytiharkan harta mereka pada hujung minggu ini.

Mereka adalah antara individu yang dibantu Invoke Malaysia, sebuah kumpulan penyelidikan dan kajian pilihan raya yang diasaskan oleh pemimpin PKR itu.

Majlis presiden tentukan

Ditanya sama ada HARAPAN akan mengarahkan calonnya mengisytiharkan harta mereka, Mahathir berkata perkara itu perlu diputuskan oleh Majlis Presiden HARAPAN.

"Sehingga ia dibincangkan dalam mesyuarat itu, saya tidak bebas untuk membuat apa-apa kenyataan," katanya.

Mengenai langkah HARAPAN mendaftarkan gabungan itu melalui Pendaftar Pertubuhan (ROS), Mahathir berkata majlis itu telah memutuskan untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

HARAPAN mengemukakan draf perlembagaan dan logonya kepada ROS pada bulan Julai lalu.

Sekiranya pilihan raya diadakan sebelum ROS meluluskan gabungan baru itu, parti-parti dalam gabungan itu perlu menggunakan logo mereka masing-masing.

Mahathir juga mendedahkan bahawa pemimpin parti itu akan mengadakan mesyuarat selama dua hari pada 1 dan 2 Disember depan.

Lihat Komen