malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Kementerian Kewangan perlu henti bermimpi di siang hari'
ADS

Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa kelewatan dan pengumuman tidak konsisten Kerajaan Persekutuan dalam tawaran tender baru projek Bandar Malaysia memberi gambaran bahawa masih belum ada syarikat yang menyerahkan cadangan muktamad mengenainya.

Malah, Tony berkata jika ada sekali pun berkemungkinan syarikat terbabit tidak berminat atau tidak sanggup menawarkan nilai setara dengan penilaian dilakukan Kementerian Kewangan.

"Kementerian Kewangan seharusnya berhenti bermimpi di siang hari dan segera bangkit.

"Tawaran tender terbuka Bandar Malaysia sebelum ini hanya dibuat Konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH).

"IWH memenangi bidaan itu tetapi gagal memperolehi pembiayaan yang diperlukan bagi menyelesaikan transaksi berkenaan," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Tony berkata, tidak wajar juga untuk mana-mana syarikat global menawarkan apa-apa untuk pembangunan Bandar Malaysia apabila mereka tahu Kementerian Kewangan terdesak untuk lakukan jualan.

Pada awalnya, rancangan Kerajaan Persekutuan untuk Bandar Malaysia membabitkan penjualan 60 peratus saham dalam projek berkenaan kepada konsortium IWH dan China Railway Engineering Corp (CREC).

Namun, perjanjian itu terpaksa ditamatkan selepas konsortium berkenaan didakwa gagal memenuhi jadual pembayaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini memberitahu syarikat Bandar Malaysia Sdn Bhd sudah melaksanakan proses permohonan cadangan untuk pembangunan projek Bandar Malaysia.

Najib juga berkata, 8 syarikat yang menepati kriteria ditetapkan sudah menyatakan minat untuk menjadi peneraju induk bagi projek ini.

Pada 23 Ogos lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, 6 firma menyatakan minat untuk menjadi peneraju utama dalam Bandar Malaysia.

Mohd Irwan yang juga pengerusi Bandar Malaysia Sdn Bhd bagaimanapun berkata beliau tidak pasti firma mana daripada enam itu akan mengemukakan cadangan mereka menjelang akhir bulan Ogos lalu.

Lihat Komen