malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hidup mati pelapis kepimpinan DAP, MCA di Seremban
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 12:24 PM
Dikemaskini: 5:14 AM
ADS

ANALISIS Daripada sebuah pekan lombong, Seremban kini mencapai status bandar.

Ia terkenal dengan siew pao (pau inti babi panggang) dan ketam bakar.

Bagaimanapun, di sebalik makanan, Seremban kini menjadi medan penting untuk dua tokoh muda yang berentap untuk memenangi hati pengundi parlimen itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Penyandang Anthony Loke daripada DAP, yang dilihat antara calon pengganti setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng, dikatakan akan dicabar oleh Ketua Pemuda MCA Senator Datuk Chong Sin Woon.

Chong juga sedang dididik sebagai pemimpin masa depan parti Cina itu dan pernah digelar sebagai “Musang King” oleh timbalan presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Justeru, kejayaan Loke dan Chong di kertas undi penting untuk menentukan perjalanan politik mereka dalam parti masing-masing.

Dalam pilihan raya umum lalu, Loke berjaya menambahkan jurang majoriti dengan lawannya Yeow Chai Thiam (MCA), Abdul Halim Abdullah (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia atau BERJASA) dan dua calon bebas - John Ferbandez dan Bujang Abu.

Lima tahun sebelumnya, John, ketika itu masih bersama DAP, hanya menang dengan majoriti 3,948 undi.

Loke (atas) sebagai ketua DAP Negeri Sembilan bagaimanapun menegaskan kemenangan besarnya itu disebabkan oleh kemasukan BERJASA yang berjaya memecahkan undi Melayu.

“Calon BERJASA dapat 6,866 undi, dia ambil separuh undi Melayu daripada BN,” katanya.

Seremban adalah kawasan campuran dengan pengundi Melayu sebanyak 44 peratus, Cina 41 peratus dan India pula 14 peratus.

Berdasarkan keputusan, pengundian berdasarkan garis kaum masih berlaku.

Dalam pilihan raya umum depan, dengan rasa lelah orang ramai terhadap politik pastinya memberikan cabaran lebih besar buat Loke.

Timbalan Setiausaha Pemuda Dewan Perniagaan Cina Negeri Sembilan Aw Yuen Hing memberitahu Malaysiakini bahawa peratusan keluar mengundi pengundi Cina akan menjadi cabaran penting buat DAP.

“Peratusan keluar mengundi pengundi Cina mungkin turun, tetapi peralihan orang Cina yang ketara (kepada BN) mungkin tidak berlaku,” katanya.

Dengan sokongan pengundi Cina yang tinggi terhadap DAP sebelum ini, sebarang kemerosotan jumlah keluar mengundi sudah pasti akan menjejaskan parti itu.

Aw juga berkata pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga belum teruji setelah sekutu mereka yang menguasai undi Melayu PAS tidak lagi bergabung bersama.

MCA juga menuduh dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dalam kawasan parlimen itu Siow Kim Leong (Lobak) dan Ng Chin Tsai (Temiang), tidak menjalankan tugas dengan baik.

Jika sentimen itu dikongsi dengan pengundi lain, nasib Loke tentu lebih buruk.

Kawasan parlimen itu mempunyai enam kerusi DUN.

Bagaimanapun, Chong daripada MCA juga mempunyai masalahnya sendiri.

Beliau harus bergelut dengan tanggapan tidak mendapat dukungan Pengerusi MCA negeri Lim Chin Fui.

Pergerakannya daripada ketua pemuda MCA Selangor kepada ketua pemuda pusat pasti membuatkannya mendapat tentangan daripada pemimpin tempatan.

Walaupun pemimpin-pemimpin MCA negeri bersedia dengan calon “payung terjun”, mereka mahukan Ho Kok Yew yang tewas di kerusi Lobak dipindahkan ke Temiang yang yang dimenangi DAP dengan majoriti 1,677 undi.

Di Lobak, MCA tewas dengan majoriti hampir lapan kali ganda lebih besar– 8,270 undi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen