malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Dakwaan Trump Malaysia 'penipu perdagangan' tak benar
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 12:01 PM
Dikemaskini: 6:24 AM
ADS

PARLIMEN l Kerajaan menafikan tuduhan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang Malaysia adalah salah satu "penipu perdagangan" sehingga menyebabkan defisit perdagangan negara itu dengan Malaysia.

"Dakwaan presiden Amerika Syarikat terhadap Malaysia sebagai salah satu 'penipu perdagangan' adalah tidak benar.

"Pentadbiran AS sehingga kini masih belum mengeluarkan hasil laporan rasmi kepada umum mengenai defisit perdagangan AS dan rakan-rakan dagangnya," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Ken (Selayang-PKR) berhubung langkah kerajaan untuk mempertahankan Malaysia daripada dakwaan tersebut, yang didakwa menyebabkan defisit perdagangan berjumlah AS$50 bilion kepada AS.

Beberapa bulan lalu, Trump dalam satu kenyataan mendakwa Malaysia merupakan salah sebuah daripada 16 negara "penipu perdagangan". Negara Asia Tenggara yang turut menerima dakwaan sama adalah Indoensia dan Thailand.

Mustapa berkata, statistik perdagangan Malaysia merekodkan AS hanya mempunyai defisit perdagangan sebanyak AS$55 bilion dengan negara.

Katanya, Jabatan Perdagangan dan Pejabat Wakil Perdagangan AS telah menyediakan laporan berhubung perkara itu dan dihantar ke Rumah Putih pada 29 Jun lalu.

Beliau berkata, penjelasan juga diberikan ketika kunjungan delegasi Malaysia ke Rumah Putih pada September lalu.

"Saya dan perdana menteri menerangkan perbezaan data (defisit) disebabkan AS mengambil kira import melalui pihak ketiga. Misalnya barangan elektrik dan elektronik yang dieksport ke sana melalui Singapura dikira sebagai import dari Malaysia, bukannya Singapura," katanya

Katanya lagi, kaedah pengiraan jumlah eksport juga berbeza untuk kedua-dua negara, dengan Malaysia tidak mengambilkira kos perkapalan dan insurans manakala AS memasukkan semua kos yang terlibat.

Mustapa berkata, Malaysia komited dengan perdagangan bebas dan tidak memanipulasi mata wang mahu pun memberi sebarang bantuan yang menyalahi undang-undang antarabangsa.

Lihat Komen