malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahfuz ada misi kekal dalam PAS
Diterbitkan:  Nov 12, 2017 1:26 PM
Dikemaskini: Nov 13, 2017 5:11 AM
ADS

Didesak dari pelbagai penjuru untuk meninggalkan PAS, anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar tetap dengan pendiriannya untuk terus bersama parti itu.

Beliau berkata, keengganannya itu bersebab iaitu untuk menyampaikan 'mesej' kepada anggota parti itu.

"Saya mahu kekal di sini. Saya tidak akan ke mana-mana termasuk BERSATU, PKR, atau AMANAH. Saya hanya mahu berada dalam PAS.

"Saya mahu buktikan yang tidak salah jika kita mempunyai pandangan politik berbeza daripada parti. Kita tidak perlu keluar parti dan boleh terus bebas menyuarakan pandangan kita," kata seperti dipetik Sinar Online, semalam.

Pendirian sama pernah dinyatakannya ketika hadir di Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (AMANAH) pada Oktober lalu.

Mahfuz kini seolah-olah dianggap bukan lagi ahli PAS di kalangan pemimpin dan anggota parti itu kerana cenderung menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tindakan itu jelas bertentangan dengan pendirian Pas yang enggan mempunyai sebarang hubungan politik dengan gabungan pembangkang itu.

Malah beliau hampir pasti tidak akan dicalonkan lagi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, seperti yang dikatakan oleh Naib Presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Pada masa sama, beliau menafikan kecenderungannya menyokong AMANAH yang merupakan parti serpihan PAS itu, sebaliknya kepada HARAPAN secara keseluruhan yang dilihatnya berpotensi menyaingi BN pada PRU akan datang.

"Hanya Harapan sahaja yang mampu mengubah corak arena politik negara. Kita tidak boleh mengharapkan PAS yang hanya mensasarkan 44 kerusi pada PRU nanti.

"Sekiranya menang 44 kerusi sekalipun, mereka tidak boleh menjadi pemerintah negara. Itupun jika dapatlah (44 kerusi)," katanya yang berkata parti itu hanya berpeluang menang di sejumlah kecil kawasan, jika terus 'merajuk' dengan HARAPAN.

Lihat Komen