malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zakir Naik lantik peguamcara teliti proses ekstradisi kerajaan India
Diterbitkan:  Nov 10, 2017 9:03 PM
Dikemaskini: 1:19 PM
ADS

Penceramah agama Zakir Naik yang disiasat kerajaan India atas dakwaan jenayah melantik sebuah firma guaman bagi meneliti proses ekstradisi yang akan dijalankan terhadapnya.

Datuk Shaharudin Ali mewakili Azam Aziz Shaharudinali & Co dalam satu kenyataan hari ini merujuk perkara itu susulan pelbagai laporan berita berkenaan penceramah kontroversi itu.

“Saya merujuk kepada pelbagai laporan berita berkenaan proses ekstradisi yang akan dilakukan kerajaan India bagi memastikan kehadiran Dr Zakir Naik untuk menjawab tuduhan dakwaan jenayah terhadapnya di India.

“Dr Zakir Naik telah mengarahkan firma saya Azam Aziz Shaharudinali & Co meniliti perkara ini,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Menurut Shaharudin, pihaknya juga telah memaklumkan ketua polis negara dan Jabatan Peguam Negara agar sebarang dokumen ekstradisi dan/atau waran tangkap antarabangsa yang merujuk kepada Zakir perlu juga diserahkan kepada mereka selaku peguambela.

Zakir meninggalkan India pada 2016 selepas didakwa terbabit dengan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram.

Kerajaan India sebelum telah membatalkan pasport Zakir setelah beiau berulang kali mengabaikan permintaan untuk hadir ke Badan Penyiasatan Kebangsaan India (NIA).

Zakir dikatakan turut diharamkan oleh negara-negara seperti Kanada dan United Kingdom, tetapi dialu-alukan oleh banyak negara Islam termasuk Malaysia yang memberikannya taraf penduduk tetap.

Meskipun mengakui bahawa Zakir berada dalam pemerhatian pihak berkuasa tempatan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata Zakir tidak mempromosi keganasan.

Menurut Zahid, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mendapati sebarang unsur menggalakkan keganasan dalam ucapan Zakir dan dakwaan pembabitan Zakir adalah persepsi kerajaan India.

Lihat Komen