malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pesuruhjaya PAS Perak diarah bayar RM200,000 kepada Nizar
Diterbitkan:  Nov 10, 2017 2:34 PM
Dikemaskini: 8:27 AM
ADS

Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini memerintahkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria membayar RM200,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkaitan saman fitnah yang difailkan dua tahun lalu.

Mohammad Nizar ,yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering memfailkan saman fitnah sebanyak RM3 juta terhadap ke atas Razman di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Ogos 2015, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh.

Hakim D Sunita Kaur Jessy membuat keputusan itu selepas mendapati Razman, selaku defendan, bertanggungjawab terhadap kenyataan yang disiarkan di akhbar Sinar Harian, 2 Jun 2015, berunsur fitnah terhadap Mohamad Nizar sebagai plaintif.

Mohamad Nizar, yang kini Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH), memfailkan saman itu terhadap dua perenggan dalam artikel berkenaan yang mengaitkannya ‘menyokong konsep negara sekular yang diperjuangkan DAP dan bahawa dia perlu menyertai DAP’.

Plaintif diwakil Asmuni Awi manakala Razman diwakili Mohd Zamri Ibrahim dan Ahmad Azhar Sharin.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Asmuni berkata plaintif berasa lega dengan keputusan tersebut dan memohon defendan membayar jumlah itu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Sementara Mohamad Zamri berkata beliau akan cuba menasihatkan anak guam untuk memohon penangguhan keputusan itu atau membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

- Bernama

Lihat Komen