malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mufti: Bolehkah 'pelampau' pulihkan pelampau?
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 2:21 PM
Dikemaskini: 8:18 AM
ADS

Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin mempertikaikan pemilihan jurupulih akidah anggota kumpulan pengganas di penjara.

Tanpa menyebut nama, beliau bagaimanapun dilihat merujuk kepada penceramah kontroversi Zamihan Mat Zain yang baru terpalit isu penggunaan surau untuk menempatkan mangsa banjir bukan Islam hujung minggu lepas.

Mengulas isu surau di Pulau Pinang itu, Asri berkata, beliau hairan apabila “pihak yang memakai gelaran agama” gagal memahami Islam sebagai agama rahmat.

“Orang seperti ini boleh mempertikaikan bukan Islam yang diberikan pertolongan ketika bencana dengan beralaskan kefahaman fikahnya yang sempit,” katanya.

Bilal Surau Taman Free School di Georgetown, Pulau Pinang Sapno Tukijo, 50, mendapat pujian ramai setelah mempelawa masyarakat Cina menumpang di suraunya, semalam susulan banjir besar yang melanda negeri itu.

Bagaimanapun, berdasarkan gambar yang tidak menutup aurat, Zamihan berkata situasi itu tidak sepatutnya berlaku dan ia tidak boleh dikategorikan sebagai darurat “kerana masih ada ikhtiar lain untuk keperluan mereka”.

Menulis di Facebook lewat malam tadi, Asri sebaliknya berkata orang ramai patut berterima kasih kepada masjid dan surau yang membuka ruangan mereka untuk mangsa banjir dan bencana.

“Ini kerana mereka telah memberikan mesej yang baik mengenai Islam buat pihak lain. Islam itu rahmatan lil 'alamin iaitu rahmat untuk semua alam.

“Ia rahmat untuk Muslim, non-Muslim, haiwan, tumbuhan dan selainnya.

“Mesej rahmat ini mesti dizahirkan terutama ketika manusia dalam kesusahan dan bencana,” katanya.

'Pelampau' pulihkan pelampau?

Sementara itu, Asri juga berkata beliau hairan apabila pihak berkuasa menggunakan “orang seperti ini untuk kononnya memulihkan kelompok pengganas dan ekstremis yang dipenjara”.

“Persoalan kita , bolehkah 'pelampau' memulihkan pemikiran pelampau? Ini bukan kali pertama beliau menzahirkan pemikiran pelampaunya.

“Tidak cukup mengkafirkan sesama Muslim selama ini, diheret pula non-Muslim ke dalam kancah ekstremisme beliau. Pihak berkuasa wajar menilai semula hal ini dengan serius,” katanya.

Perkara sama disuarakan oleh anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya yang mempersoalkan tindakan pusat membiarkan Zamihan terus mengendalikan program pemulihan tahanan militan IS walaupun dia tidak lagi dibenarkan memberi kuliah di Selangor.

Pendapat Asri dan Latheefa itu bagaimanapun tidak dikongsi dengan kepimpinan tertinggi negara.



Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata Zamihan masih diperlukan.

Zahid dilapor mengiktiraf Zamihan sebagai pakar pemulihan akidah yang cukup berjaya.

Usaha Malaysiakini mendapatkan reaksi Zamihan berkaitan pendirian Asri itu setakat ini belum berhasil

Bagaimanapun, di Facebook, beliau hanya mengulas ringkas isu itu.

“Adakah Asri mufti Perlis mempertikaikan kenyataan TPM?” soalnya.

Lihat Komen