malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar akan dirawat sebaik mungkin
Diterbitkan:  Nov 8, 2017 3:56 PM
Dikemaskini: 9:53 AM
ADS

PARLIMEN | Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan rawatan terbaik terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menghadapi masalah kesihatan di penjara.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, Anwar - yang dijadualkan menjalani pembedahan pada bahu Ahad ini - juga diberikan rawatan oleh doktor pakar.

"Saya ingin nyatakan bahawa rawatan terbaik daripada doktor pakar yang sesuai dan post operation atau rawatan pascapembedahan akan diberikan kepada beliau.

"Dan kita tentunya berdoa agar selepas pembedahan beliau akan segera sembuh," kata Zahid.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan G Manivannan (PKR-Kapar) yang meminta butiran mengenai siasatan kemalangan melibatkan sebuah kereta yang membawa Anwar ke penjara Sungai Buloh pada akhir September lalu.

Menurut ahli keluarga Anwar, masalah bahu yang dihadapi beliau sejak 2014 semakin buruk disebabkan kemalangan itu.

Ahli keluarga Anwar juga meminta jaminan kerajaan tidak akan mengganggu proses rawatan dan pemulihan terhadap bekas ketua pembangkang itu.

Sementara itu, Zahid memberitahu Dewan Rakyat bahawa polis sedang menyiasat kemalangan tersebut.

"Saya ingin maklumkan kepada Kapar bahawa siasatan terhadap accident itu sedang dilakukan dan saya pasti mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan itu jika disengajakan," katanya sambil menambahkan beliau menyerahkan siasatan tersebut kepada pihak polis.

Lihat Komen