malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dua hari berlalu, penduduk Penanti masih meranduk air banjir
ADS

LAPORAN KHAS | Dua hari berlalu selepas banjir besar melanda utara semenanjung Malaysia, ramai penduduk Pulau Pinang memulakan tugas sukar untuk membersihkan pulau kota yang diliputi lumpur dan memulihkan ke rupa bentuk asalnya.

Di seberang tanah besar Pulau Pinang, di pekan kecil Penanti, para penduduknya mengucapkan nafas lega kerana terselamat daripada bahana hujan lebat di Pulau Pinang.

Namun ia tidak buat Mamu, 54 tahun, yang tinggal di luar pekan dan satu di antara dua kawasan Penanti yang dilanda banjir.

Mamu (gambar, bawah) yang hanya memberikan nama pertamanya, merenung apa yang kelihatannya sebagai tasik yang tenang berdekatan desanya Kampung Terus. Namun 'tasik' itu tidak seharusnya berada di situ. Sebelum banjir ia sawah padi yang luas.

Air menenggelamkan bukan sahaja semaian padi tetapi juga rumah masyarakat pertanian di sini.

Mamu bersama jirannya Saidin Che Mat, 68 tahun membawa Malaysiakini di atas perahu kecil mengharungi sawah padi yang ditenggelami air sehingga ke paras dada itu ke rumah mereka.

Tiba di kampung itu, paras air kini sudah turun ke paras pergelangan kaki tetapi tompokon lumpur di dinding menunjukkan air banjir telah mencapai tahap paras dada pada kemuncaknya.

"Semua habis," kata Mamu memandang bekas plastik yang menyimpan barangnya terapung di ruang tamunya.

Terdapat tanda kerosakan akibat air terhadap sofa dan kabinetnya yang diangkat di atas paras air dengan pelantar boleh ubah itu.

Di Seberang jalan rumah Mamu dan Saidin, rumah pegawai tentera udara Shahrunizam Ibrahim juga ditenggelami air.

Seperti jirannya, alat kelengkapan rumah dan perabotnya rosak.

"Dokumen, barang ringan semua bawak naik la, tapi peti ais dua bijik memang terapung la..., perabot almari, kerusi set jati. Memang terapung la," katanya.

Penduduk Kampung Terus bertempat di tebing Sungai Perai menganggap diri mereka sebagai penduduk 'banjir tegar'. Baru sebulan lalu banjir melanda mereka.

Jadi apabila langit mendung mencurahkan hujan lebat pada malam 4 November 2017 itu para penduduk bergegas melakukan persiapan biasa mereka.

Mereka telah melakukan langkah berjaga-jaga seperti meletakkan televisyen di pelantar boleh ubah di atas meja makan mereka dan mengalihkan kereta ke tempat yang lebih tinggi.

Mamu kemudiannya pergi ke warung kopi berdekatan untuk melihat perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kedah dan Johor Darul Takzim.

"Kita ingat sampai lutut ja," katanya.

Namun Mamu terkejut melihat betapa pantasnya banjir berlaku dan ketika fajar menyinsing pada pagi 5 November 2017 dia serta jiran-jirannya terpaksa meninggalkan rumah mereka.

"Dalam 2.30 pagi saya keluar pegi beli makan untuk anak masa tu air baru paras pinggang belum paras dada.

"Masa tu lepas tengok piala Malaysia, saya tengok kat kedai kopi luar kampung.

"Pagi minggu air dah paras kritikal dah, paras dada," katanya.

Seorang lagi penduduk, Zaiton Saad (gambar, atas) memberitahu Malaysiakini berkenaan terdampar dalam air pada paras dada menjelang subuh.

"Dalam pukul 6 tu Jabatan Pertahanan Awam mai, ambil kita.

"Sebelum sampai tu macam mana? Memang duduk dalam ayaq (air) jugak la, terpaksa.

"Lama jugak tunggu, sejam lebih la," kata Zaiton.

Ibunya Doyah Ahmad, 70 tahun yang tinggal bersebelahan rumahnya terdampar di atas katilnya yang menjadi seperti pulau sebelum bantuan menyelamat sampai.

Setakat petang tadi, lebih 200 orang masih tinggal di pusat pemindahan banjir setempat kira-kira 1 kilometer dari kawasan banjir.

Selain kehilangan harta benda dan tempat tinggal, ramai penduduk kampung juga risau berkenaan penghidupan mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen