Perjuangan selama 12 tahun menerusi saluran perundangan oleh 12 orang pemilik tanah hak adat pribumi (NCR) dari Pantu Sri Aman untuk menuntut tanah warisan nenek moyang mereka di kawasan pembangunan Sungai Tenggang berakhir hari ini.
Ini berikutan keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada penduduk kampung itu daripada suku kaum Iban.
Panel itu membenarkan rayuan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Pelita Holdings Sdn Bhd dan Tetangga Akrab Pelita (Pantu) Sdn Bhd serta kerajaan Sarawak untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta membuat perintah gantian.
Dalam penghakiman yang disampaikan Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang akan bersara berkuat kuasa esok, beliau berkata mahkamah mendapati perintah pembangunan, surat ikatan prinsipal dan Perjanjian Usaha Sama adalah sah.
Hakim lain yang turut bersidang dalam panel itu ialah Tan Sri Zainun Ali, Datuk Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.
Pemilik berhak dapat pampasan
Hakim Suriyadi bagaimanapun berkata ‘kawasan merah’ (tanah seluas 600 hektar di kawasan yang dipertikai) adalah tanah NCR yang dimiliki sebahagian daripada pemilik tanah terbabit.
Beliau berkata pemilik tanah terbabit berhak mendapat pampasan oleh kerana tanah berkenaan diperoleh secara pengambilan wajib mengikut Seksyen 15 Ordinan LCDA bagi tujuan pembangunan.
Beliau mengeluarkan perintah supaya pihak berkuasa mengaturkan pengambilan wajib tanah NCR daripada pemilik yang sah di kawasan berkenaan dan siasatan akan diadakan untuk mengenal pasti pemilik tanah NCR yang sah serta membayar pampasan kepada mereka berdasarkan Ordinan LCDA.
Dalam lingkungan kawasan yang diwartakan bagi pembangunan, terdapat pemilik NCR yang bersetuju supaya tanah NCR digabungkan dan disatukan bagi pembangunan dan mereka memeterai surat ikatan prinsipal bertarikh 3 September 2004 bersama-sama kerajaan negeri Sarawak dan PHSB.
Bagi pembangunan lot tanah itu, PHSB selaku pemegang amanah kepada pemilik NCR yang bersetuju, telah menandatangani perjanjian usaha sama pada 2004 dengan sebuah syarikat usaha sama, Tetangga Akrab Pelita (Pantu), yang diperbadankan oleh PHSB dan Tetangga Akrab Sdn Bhd (TASB).
Kawasan bagi pembangunan itu adalah projek pembangunan disahkan kerajaan negeri yang digambarkan sebagai 'Kawasan Pembangunan Tanah NCR Sungai Tenggang' di mana projek perladangan kelapa sawit dilaksanakan.
Hak NCR
Penduduk kampung itu yang diketuai Masa anak Nangkai memfailkan tuntutan mahkamah itu pada 2005, antara lain, memohon perisytiharan bahawa mereka adalah pemegang hak milik asal atau pemilik NCR tanah yang dipertikai yang diwartakan bagi pembangunan dan mereka mendakwa tidak pernah menyerahkan atau melepaskan hak NCR mereka.
Keputusan Mahkamah Tinggi pada Februari 2011 menyatakan bahawa penduduk kampung terbabit berhak untuk menuntut tanah mereka di bawah NCR di kawasan yang telah dimajukan dan memerintahkan supaya mereka diberi ganti rugi yang akan dinilai oleh timbalan pendaftar.
Perayu turut diperintah supaya menyerahkan lot tanah kosong NCR dan dihalang daripada memasuki atau menjalankan kerja di atas tanah berkenaan.
Mahkamah Rayuan pada 2014 turut membuat keputusan yang memihak kepada penduduk kampung, dengan menyatakan bahawa penduduk kampung telah kehilangan tanah NCR yang merupakan sumber mata pencarian mereka dan mereka kehilangan hak kepada hartanah mereka yang secara langsung melanggari Perlembagaan Persekutuan.
-Bernama