malaysiakini logo
story-image
ADS

Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat bekas menteri kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di bawah tuduhan qazaf.

Ini berikutan tuduhan Husni sebelum ini yang mendakwa bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meliwat anak buahnya.

Terdahulu satu laporan dibuat oleh anggota-anggota parlimen (MP) HARAPAN pada jam 4 petang tadi.

Mereka meminta JAWI menyiasat tuduhan berkenaan mengikut Seksyen 41 Akta 559 kesalahan jenayah syariah.

"(Kesalahan) qazaf apabila seseorang menuduh seseorang yang lain melakukan zina atau liwat tanpa empat orang saksi.

"Apa yang dilakukan Ahli Parlimen Tambun (Husni) untuk menyatakan pertuduhan tanpa membawa saksi dan menyebut bahawa anak buahnya menjadi mangsa.

"Islam hendak menghalang sesiapa membuat tuduhan rambang, liar. Itulah sebabnya sesiapa yang membuat (tuduhan) qazaf akan dikenakan 80 kali sebatan.

"(Namun) tidak tahulah ia akan dilakukan atau tidak, tetapi kita serahkan kepada JAWI," kata MP Shah Alam, Khalid Samad.

'Siasat walaupun ada imuniti'

Rabu lalu Ahmad Husni melalui ucapannya di Dewan Rakyat mengkritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Husni turut berkata beliau meninggalkan perjuangan Anwar selepas mendapati ketua umum PKR itu terlibat dengan kes liwat dengan anak buahnya.

Kenyataan Ahmad Husni itu mengundang pelbagai reaksi daripada pembangkang yang meminta beliau mengulangi tuduhan itu di luar Dewan Rakyat.

Bagaimana ketika ditanya mengenai imuniti seorang ahli parlimen yang berucap di dewan rakyat, MP Kelana Jaya (PKR) Wong Chen berkata:

“Minta disiasat dulu, biar JAWI siasat dulu dan sudah tentu ahli parlimen ada imuniti.

"Kalau dia (JAWI) tak boleh ambil tindakan sekurang-kurangnya bagi satu pedomanlah, sekurang-kurangnya kita minta pendapat JAWI berhubung perkara ini,” katanya.

MP Kapar (PKR) G. Manivanan mendakwa kelibat Ahmad Husni tidak lagi kelihatan sehingga ke hari ini selepas membuat tuduhan liwat berkenaan Anwar.

Malah beliau memberitahu berjumpa Ahmad Husni di ruang rehat (louge) Dewan Rakyat untuk mendapatkan penjelasan, yang kemudian dijawab oleh Ahmad Husni 'sudah minta maaf'.

Tuntut pendirian PAS

Sementara itu, MP Sepang Hanipa Maidin pula menuntut PAS membuat kenyataan berhubung tuduhan Ahmad Husni kerana qazaf tertakluk di bawah hudud.

“PAS kena buat kenyataan, ini adalah qazaf, dalam hudud. Boleh tak pas tolerate dengan orang yang menuduh orang.

"Kalau nak laksanakan hudud kami nak tanya adakah benda-benda macam ini termasuk dalam hudud,” soalnya.

Sidang media itu turut disertai Datuk Johari Abdul (PKR- Sungai Petani, Datuk Raja Kamarul Bahrin (AMANAH- Kuala Terengganu), R Sivarasa (PKR- Subang) dan Fauzi Abdul Rahman (PKR- Indera Mahkota).

 

Lihat Komen