malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB: Pusat tangguh tarikh akhir ambilalih SPLASH
ADS

DUN SELANGOR | Proses pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh kerajaan Selangor dilanjutkan lagi sehinggai Julai 2018, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, lanjutan itu dibuat sehingga 4 Julai 2018 oleh kerajaan persekutuan, melalui dua surat yang dihantar kepada kerajaan negeri.

"Rundingan belum dimuktamadkan, justeru kerajaan negeri belum dapat mengesahkan nilai sebenar pengambilalihan isu air negeri.

"Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) berpandangan ada keperluan untuk lanjutkan tempoh pengambilalihan," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Datuk Sulaiman Razak pada sidang DUN Selangor di Shah Alam, hari ini.

Berdasarkan jawapan parlimen 26 Julai lalu, KeTTHA memaklumkan berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 12 September 2014, proses itu sepatutnya dimuktamadkan pada 7 Oktober 2016.

Bagaimanapun, ia dilanjutkan untuk tempoh enam bulan, yang berakhir 6 April lalu. Ia disusuli lanjutan enam bulan kedua hingga 5 Oktober selepas proses rundingan gagal memuktamadkan pengambilalihan itu.

Mengulas lanjut, Azmin meluahkan kekecewaannya tentang hasil penilaian yang dibuat oleh panel lantikan kerajaan persekutuan berhubung nilai pengambilalihan SPLASH dan berkata kerajaan sepatutnya lebih terbuka dalam penilaian itu.

Menurut laporan, KeTTHA sebelum ini berkata proses penilaian oleh Deloitte telah selesai, tetapi maklumat tersebut hanya untuk kerajaan persekutuan.

"Bagi menjamin kepentingan rakyat Selangor, kerajaan persekutuan perlu berkongsi dan mengemukakan hasil penilaian oleh syarikat Deloitte, dengan kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri ingin mendapatkan pengesahan persekutuan tentang nilai munasabah untuk ditawarkan kepada SPLASH berdasarkan penilaian Deloitte.

"Kami ingin membentangkannya dalam mesyuarat exco tetapi sehingga kini belum menerima maklum balas daripada persekutuan," katanya lagi.

Rundingan antara kerajaan persekutuan dan negeri juga tergendala sebelum ini, apabila Selangor menolak cadangan nisbah 60:40 pengambilalihan ekuiti SPLASH, iaitu 60 peratus dibiayai kerajaan persekutuan dan 40 peratus oleh kerajaan negeri.

 

Lihat Komen