Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony diminta hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pukul 8.30 pagi esok.
Peter berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai SPRM Sabah ketika hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
“Pagi ini saya dipanggil (SPRM Sabah) untuk membantu siasatan tetapi saya tidak dimaklumkan apakah siasatan tersebut.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas supaya hadir di ibu pejabat SPRM (Putrajaya) esok,” katanya yang dipetik Bernama selepas kira-kira setengah jam berada di pejabat SPRM Sabah.
Menurut Peter, beliau juga belum mengetahui sebab beliau dipanggil ke ibu pejabat SPRM esok.
Pada 13 Oktober lalu, Peter dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 selepas tamat tempoh tahanan remannya selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah.
Selain Peter, semalam Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipanggil semula oleh SPRM.
Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu ditahan pada 19 Oktober lalu dalam siasatan SPRM di Sabah berhubung kes dana pembangunan luar bandar untuk negeri itu yang didakwa diselewengkan antara tahun 2009 hingga 2015.
Shafie memegang portfolio itu sepanjang tempoh tersebut.
Selain sejumlah pemimpin WARISAN, beberapa pemimpin Umno termasuk Ketua Umno Bahagian Silam Datuk Yusof Apdal juga ditahan.