malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ops Payung sedia hadapi banjir di Johor
ADS

Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sudah mengeluarkan surat dan pekeliling kepada semua pengetua sekolah di Johor, bagi melaksanakan Ops Payung sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi banjir ketika peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya tidak mahu mengambil sebarang risiko, sekali gus membuat persiapan awal menghadapi banjir di pusat-pusat peperiksaan terutamanya yang terletak di kawasan luar bandar.

"Ini memang prosedur operasi standard (SOP) sudah lama diperkenalkan Kementerian Pendidikan dalam menghadapi banjir semasa peperiksaan merangkumi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Semua sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah sudah mewujudkan jawatankuasa banjir dan pihak jabatan juga mendapat kerjasama daripada badan kerajaan seperti Jawatankuasa Banjir Tempatan, polis, bomba dan sebagainya untuk memastikan kelancaran perjalanan sesuatu peperiksaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di Johor Bharu hari ini.

Persediaan awal

Ayub berkata setiap tahun kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah persediaan awal dalam menghadapi banjir bukan sahaja di kawasan pedalaman atau yang biasa dinaiki air, tetapi juga di pusat-pusat peperiksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata enam calon SPM dari SMK Gelang Patah terpaksa dibawa ke sekolah menggunakan kenderaan milik seorang guru pagi tadi, selepas banjir melanda rumah mereka di Perkampungan Orang Asli Kampung Simpang Arang.

"Ibu bapa calon berkenaan memaklumkan kepada guru sekolah melalui aplikasi WhatsApp Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, dan sekolah terbabit telah melaksanakan Ops Payung untuk membawa pelajar-pelajar berkenaan dari kediaman mereka," katanya.

Ayub berkata selain kejadian banjir itu, peperiksaan SPM di Johor berjalan lancar.

Dalam tinjauan di SMK Sultan Ismail, Ayub turut memberi kata-kata semangat kepada 182 calon SPM sekolah berkenaan selepas mereka selesai menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Satu, pagi tadi.

 

-Bernama

Lihat Komen