malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah: PM tiada tugas berkanun nasihat Agong lantik hakim
ADS

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memiliki tugas berkanun untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membatalkan pelantikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan.

Hakim Azizah Nawawi menyampaikan keputusan itu di dalam kamar berkenaan permohonan yang difailkan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan perintah 'mandamus' (perintah mahkamah untuk memaksa pelaksanaan sesuatu kewajipan awam yang tertentu) untuk membuatkan Najib menasihatkan Yang di-Pertuan Agong atas sebab mereka dilantik melangkaui usia persaraan 66 tahun dan enam bulan.

Peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mahathir kemudiannya memberitahu wartawan, Hakim Azizah dalam keputusan lisannya berkata mahkamah bersetuju bahawa undang-undang tersebut membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat untuk perintah 'mandamus' bagi mengarahkan pegawai awam untuk melakukan tugas tertentu.

"Tetapi hakim juga berpendapat perintah itu hanya dapat diberikan jika terdapat undang-undang bertulis yang membuatkan tugas (khusus) itu sebagai mandatori.

Beliau juga berkata telah menerima arahan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan ini.

Umur persaraan

Peguam kanan persekutuan Alice Loke yang mewakili Najib dan dua hakim tersebut memberitahu wartawan bahawa Azizah menolak permohonan Mahathir tanpa kos.

Mahathir telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bulan Ogos lalu bagi mencabar pelantikan Hakim Md Raus sebagai ketua hakim negara dan satu lagi permohonan bulan lalu terhadap Hakim Zulkefli.

Mahathir memetik Perkara 125 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang hakim itu tidak boleh berkhidmat selepas umur persaraan mandatori 66 tahun dan enam bulan, manakala Perkara 122 (1A) pula menetapkan pelantikan hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan tidak boleh dibuat sebelum orang itu bersara.

Beliau mendakwa perlembagaan tidak membenarkan sebarang hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai hakim tambahan, bagi memenuhi empat jawatan tertinggi badan kehakiman.

[Baca berita penuh]

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi yang menolak dua permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Dr Mahathir dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Kerajaan Malaysia dan dua hakim berkenaan.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Dr Mahathir.

Loke ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak kedua-dua permohonan Dr Mahathir selepas berpendapat tiada kewajipan statutori untuk perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli.

“Mahkamah menolak permohonan tersebut tanpa sebarang kos,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Dr Mahathir selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 9 Ogos lepas, dengan menamakan Najib, kerajaan dan Md Raus sebagai responden bagi mendapatkan perintah mandamus supaya mewajibkan perdana menteri dan kerajaan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan Md Raus.

Nasihat itu bertujuan untuk membatalkan atau menamatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong yang diberikan pada 25 Mei lalu berkaitan pelantikan Md Raus sebagai Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan dan terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara bermula 4 Ogos lalu bagi tempoh tiga tahun.

Dr Mahathir turut memfailkan satu lagi permohonan sama pada 27 Sept lalu dengan menamakan Najib, kerajaan dan Zulkefli selaku responden bagi mencabar pelantikan dan pelanjutan tempoh perkhidmatan presiden Mahkamah Rayuan itu.

Kedua-dua permohonan dikemukakan atas alasan antaranya, dalam Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pelantikan seseorang yang sudah mencapai umur perkhidmatan perlembagaan iaitu 66 tahun, enam bulan untuk memegang jawatan berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen