malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pulau Pinang bentang usul tergempar banjir
ADS

Kerajaan Pulau Pinang hari membentangkan usul tergempar di Dewan Undangan Negeri bagi menyampaikan rasa takziah kepada mangsa-mangsa yang kehilangan nyawa mereka semasa banjir di negeri itu pada 4 November lalu.

Ketika kejadian banjir besar pada 4 dan 5 November 2017 itu, tujuh orang, kebanyakan warga emas meninggal dunia akibat mati lemas dan dihempap pokok.

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Chow Kon Yeow membentangkan usul itu pagi ini dan disokong sebulat suara oleh kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan juga daripada Barisan Nasional (BN).

"Kami juga ingin menyampaikan rasa simpati kami kepada semua pihak yang kehilangan harta benda ketika banjir pada 4 dan 5 November itu," kata Chow.

Dalam usul beliau, Chow mengucapkan terima kasih kepada semua agensi negeri dan persekutuan, majlis tempatan, badan-badan NGO, institusi dan individu yang membantu ketika krisis yang menyaksikan taburan hujan paling tinggi - 315 mm - dalam sejarah Pulau Pinang.

Banjir kilat besar kali terakhir melanda pulau mutiara itu pada 15 September 2017 lalu.

Beliau memuji 'semangat bersatu-padu' yang ditunjukkan semasa misi menyelamat yang turut melibatkan anggota tentera dan polis.

"Kami menggesa kesemua pihak yang bertanggungjawab - pada peringkat kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan - untuk mengkaji semula prosedur operasi standard berkenaan perkongsian maklumat, misi mencari dan menyelamat, menawarkan bantuan, supaya ia dapat menjadi lebih cekap dan dapat mengurangkan kesan kepada mereka yang sedang berhadapan dengan bencana," kata pengerusi DAP negeri itu.

"Kami juga menggesa kesemua pihak bertanggungjawab untuk bekerjasama, bagi membincangkan masalah banjir, khususnya dengan melaksanakan projek-projek tebatan banjir yang lebih menyeluruh dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan alam sekitar," tambah beliau.

Usul tersebut disokong Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon. Tiada bantahan terhadap usul itu dan Yang Dipertua DUN Datuk Law Choo Kiang membenarkannya untuk perbahasan.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) menyatakan sokongan beliau terhadap usul tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada agensi negeri dan pusat atas komitmen mereka dalam membantu rakyat di Pulau Pinang yang berhadapan dengan krisis banjir itu.

"Bagaimanapun, kami mencadangkan pengedaran khemah, makanan dan perubatan untuk mangsa-mangsa banjir diperbaiki dengan cara yang lebih berkesan lagi," tambah beliau.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen