malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PDRM nafi khidmat UTK untuk Mahathir ditarik balik
Diterbitkan:  Nov 5, 2017 12:28 PM
Dikemaskini: 4:30 AM
ADS

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menarik balik anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang menjadi pengiring peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang tular di media sosial akhir-akhir ini.

Menurut Ketua Polis Negara hak keistimewaan pada Dr Mahathir masih kekal namun beberapa anggota pengiring peribadi daripada anggota biasa diarahkan kembali bertugas dengan PDRM.

“Itu tidak benar sama sekali. Pengiring peribadi daripada pegawai UTK masih berkhidmat dengan Dr Mahathir.

“Hanya anggota biasa sahaja kita panggil kembali untuk tugasan lain, itu hanyalah prosedur biasa,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia.

Khamis lalu Dr Mahathir melalui Facebooknya memaklumkan khidmat pengiring peribadi daripada UTK telah ditarik balik.

"Genap setahun yang lalu, Kak Fauziah dan pembantu rumah di pejabat dipindahkan dan ditamatkan kontrak oleh kerajaan.

"Hari ini (Khamis lalu), khidmat pengiring UTK pula ditarik balik, perjuangan tetap diteruskan," kata Dr Mahathir.

Sebelum ini, pada Mei 2016, polis pengiring Dr Mahathir telah ditarik balik.

Ketika itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan tindakan itu terpaksa diambil susulan penglibatan Dr Mahathir dalam perhimpunan BERSIH dan antikerajaan.

Lihat Komen