malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bajet Selangor RM3.12b, pembangunan 53.2 peratus
ADS

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini membentangkan Belanjawan 2018 bagi negeri itu, dengan jumlah peruntukan RM3.12 bilion dan jangkaan defisit RM870 juta.

Belanjawan kali ini menurun berbanding tahun lalu, yang memperuntukkan RM3.45 bilion dengan defisit RM900 juta.

Namun, peratusan perbelanjaan kali ini meningkat satu peratus, iaitu RM1.66 bilion atau 53.2 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan.

Belanjawan pengurusan pula berjumlah RM1.46 bilion, iaitu 46.8 peratus daripada keseluruhan belanjawan.

Dalam pembentangannya, Azmin berkata kerajaan mengurangkan jumlah defisit kepada jumlah yang munasabah dan meningkatkan peratusan perbelanjaan pembangunan untuk membangunkan Selangor.

"Pengalaman tiga belanjawan lalu membuktikan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti serta menutup pembaziran dan ketirisan.

"Ia berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan berimbang, dan mengurangkan defisit kepada jumlah yang munasabah," katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam, hari ini.

Azmin juga sempat mengkritik sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan dengan menyifatkannya sebagai faktor meningkatnya kos kehidupan.

"Maka, pengenalan GST adalah ibu kepada peningkatan bebanan kos sara hidup rakyat yang gagal ditangani oleh 'ibu segala bajet'," katanya merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Bajet 2018 yang dibentangkannya 27 Oktober lalu.

Menutup pembentangannya, beliau memberi jaminan belanjawan negeri kali ini tidak akan meminggirkan mana-mana segmen rakyat.

"Kekayaan negeri ini cukup untuk semua tetapi tidak cukup jika pemimpinnya serakah," katanya lagi.

Antara butiran dalam Belanjawan Selangor 2018 adalah:

  • RM746 juta bagi menambahbaik kemudahan, termasuk jalan raya dan sistem saliran.
  • RM30 juta khusus untuk menggantikan lif usang di pangsapuri kos rendah.
  • Dana RM20 juta kepada Universiti Selangor (Unisel).
  • RM8.7 juta bagi melupuskan tunggakan sewa projek perumahan rakyat (PPR) yang ditanggung penyewa sejak tahun 2011.
  • Meningkatkan peruntukan kepada sekolah kepada RM24 juta, berbanding RM22 juta pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, RM6 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM10 juta kepada sekolah agama rakyat.
  • Menggesa Majlis Bandaraya dan Perbandaran membina lorong basikal sepanjang 15km, dan Majlis Daerah sepanjang 10km.
Lihat Komen