malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis S'pura siasat peranan Goldman dalam urusniaga 1MDB
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 11:45 AM
Dikemaskini: 4:50 AM
ADS

Pendakwa dan polis Singapura meneliti hubungan Goldman Sachs Group dengan dana pelaburan negara yang dilanda skandal, 1MDB, lapor Bloomberg yang memetik sumber.

Unit jenayah ekonomi Singapura dan pendakwa raya telah menemuramah eksekutif dan bekas eksekutif Goldman Sach yang terlibat dalam penjualan bon oleh 1MDB, lapor Bloomberg.

1MDB yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadapi siasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dalam dakwaan berkenaan.

Jurucakap Goldman Sachs di Hong Kong enggan mengulas lanjut.

Manakala pegawai polis Singapura dan 1MDB tidak dapat dihubungi untuk memberi komen segera.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) sebelum ini melarang dua individu terlibat dalam pelanggaran berkaitan dana 1MDB daripada mengambil bahagian dalam pengurusan khidmat kewangan dan aktiviti nasihat.

Pada Mac lalu, MAS mengeluarkan perintah larangan 10 tahun terhadap Tim Leissner, bekas pengerusi Asia Tenggara di Goldman Sachs, yang dikatakan telah membuat kenyataan palsu bagi pihak banknya tanpa pengetahuan atau persetujuannya.

Leissner bertanggungjawab menguruskan hubungan dengan 1MDB apabila Goldman Sachs terlibat mengatur tiga bon yang dikeluarkan dari tahun 2012 hingga 2013.

MAS telah menyatakan hasratnya untuk mengharamkan Leissner Disember lalu.

Lihat Komen