malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siasatan ke atas Razak Baginda selesai
Diterbitkan:  Nov 1, 2017 5:58 PM
Dikemaskini: 10:00 AM
ADS

Siasatan terhadap penganalisis politik Razak Baginda dalam kes pembelian kapal selam Scorpene telah selesai, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan ke atas Razak Baginda bawah Akta SPRM.

"Untuk makluman, siasatan ke atas kes ini telah selesai," kata Datuk Paul Low.

Low bagaimana pun berkata sehingga kini SPRM tidak menerima permohonan bantuan daripada pihak luar negara dalam kes itu.

Low berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang mahu tahu sama ada SPRM akan menyiasat Razak bawah Seksyen 61 Akta SPRM.

Ini susulan pendakwaan di mahkamah Perancis susupan dakwaan penglibatan Razak dalam urus niaga itu.

Teresa juga mahu tahu sama ada Malaysia akan bekerjasama dengan pendakwa raya Perancis untuk menyerahkan Razak kepada negara itu.

Perancis menjalankan siasatan itu susulan aduan NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pada 2010.

Kes itu melibatkan pembelian dua kapal selam Scorpene dengan harga kira-kira €1 bilion daripada Direction des Constructions Navales (DCN), yang didakwa melibatkan sogokan.

Razak, yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengaku menerima sekitar €30 juta (RM137 juta) daripada syarikat Perancis Thales susulan kerja-kerja melobi, tetapi menafikan menggunakannya untuk merasuah pegawai-pegawai kerajaan Malaysia.

Bulan lalu, SPRM berkata akan mendapatkan penjelasan daripada kedutaan Perancis berkaitan status kes melibatkan Razak itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen