malaysiakini logo
story-image
ADS

Pemuda PAS hari ini mencabar Umno supaya berani berhadapan secara terbuka dan tidak memperalatkan pihak polis mengharamkan ceramah-ceramah politik dengan tujuan menyekat kemaraan Barisan Alternatif berkuasa pada 2004.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub berkata, PAS bersedia pada bila-bila masa untuk berhadapan dengan Umno dan akan memastikan Umno terkubur dalam pilihanraya umum akan datang.

"Dewan Pemuda PAS berpendapat Umno telah menjadikan Polis Diraja Malaysia sebagai perisai terakhir untuk menghadapi kemaraan Barisan Alternatif dan keadaan ini menyebabkan polis terpaksa menghalang ceramah dan majlis penerangan Pas dengan kekuatan anggotanya termasuk mengerahkan pasukan FRU," kata Salahuddin.

Salahuddin turut mencabar Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membuktikan ketulinan kata-katanya untuk bertarung secara demokrasi.

Beliau mengulas kenyataan Najib dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini supaya Umno tidak harus berdiam diri sebaliknya harus agresif menangkis fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh pakatan pembangkang ke atas parti itu.

Najib dilaporkan berkata bahawa sudah tibanya masa bagi Umno membalas balik tohmahan pembangkang supaya tanggapan tidak betul terhadap Umno selama ini dapat diperbetulkan.

Salahuddin bagaimanapun berkata PAS telah mengarahkan bahagian pemudanya diseluruh negara untuk meneruskan ceramah dan majlis penerangan yang lebih besar dan meluas, bagi meningkatkan kegiatannya menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Baru-baru ini kerajaan telah menghantar pekeliling supaya semua ceramah politik dan perhimpunan awam oleh parti-parti politik diharamkan mengikut Akta Polis, 1967.

"Pemuda PAS akan melipatgandakan usaha untuk menyerang dan menentang segala penyelewengan, salah laku dan maksiat yang dilakukan oleh Umno selama ini kepada masyarakat umum supaya rakyat dapat menerima kefahaman yang jelas siapa sebenarnya Umno," kata Salahuddin.

Budaya hedonisma

Sementara itu, merujuk kepada gejala Black Metal yang kini menyesatkan para remaja sekolah di beberapa negeri, beliau berkata Umno perlu bertanggung jawab sepenuhnya di atas masalah sosial yang sedang melanda golongan remaja dewasa, khususnya remaja Islam negara ini.

"Umno perlulah menyedari bahawa gejala ini wujud dan merebak di bawah kepemimpinan mereka yang mana Umno jugalah yang telah menyediakan suasana yang cukup 'conducive' untuk menyuburkan dan melekana remaja sekarang," ulas Salahuddin.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Dato Seri Dr Mahathir Mohamad semalam yang menyalahkan guru-guru agama yang lebih mementingkan politik daripada mendidik agama sebagai sebab dan punca ajaran Black Metal mempengaruhi pelajar sekolah agama, adalah satu kenyataan yang "tidak bertanggungjawab dan dayus".

Akhbar Mingguan Malaysia semalam memetik kenyataan Perdana Menteri bahawa pelajar mudah terpengaruh dengan kumpulan penyembah syaitan seperti Black Metal kerana kurang pengetahuan asas untuk menangkis pengaruh negatif.

Salahuddin sebaliknya menuding jari ke arah peranan kerajaan Umno Barisan Nasional yang menjadi penaung budaya hedonisma, kegilaan budaya rock dan penaja konsert Michael Jackson dan Kumpulan Scorpion suatu ketika dulu dengan membenarkan pementasan di negara ini walaupun dibantah oleh Pemuda PAS dan umat Islam negara ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.