malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Jemputan golf Trump tanda lawatan Malaysia dihargai
ADS

PARLIMEN | Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membangkitkan soal pengaruh Malaysia terhadap Amerika Syarikat (AS) dan kuasa dunia yang lain.

Beliau menceritakan kejayaannya memasukkan penindasan etnik Rohingya sebagai agenda pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump, walaupun isu itu pada mulanya tidak termasuk dalam topik perbincangan.

"Saya telah perdengarkan secara spesifik itu pelarian Rohingya dan penindasan terhadap mereka, dan ia disambut baik Presiden Trump.

"Saya ingin memaklumkan kepada Dewan, dalam komunikasi asal tidak disebut isu ini, tetapi apabila saya minta (ia dimasukkan) Presiden Trump setuju dan (isu ini) dimasukkan (dalam agenda perbincangan," katanya dalam sesi soal jawab pagi ini.

"Ini salah satu kejayaan Malaysia, di mana negara ada pengaruh di pentas antarabangsa hatta di kalangan kuasa-kuasa besar," katanya lagi.

Najib menafikan kritikan yang beliau tidak mendapat layanan yang selayaknya ketika lawatan ke Amerika Syarikat pada September lalu.

Menjawab soalan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR - Permatang Pauh) mengapa beliau dan rombongannya menetap di Trump International Hotel, Najib berkata ia tidak menjadi isu.

"Walaupun saya tidak duduk di Blair House (kediaman rasmi tetamu kerajaan AS), saya dijemput main golf bersama Presiden Trump, beliau hantar saya ke kereta. Jadi tak payahlah sebut benda-benda ni," katanya lagi.

Najib dan Trump juga tidak membuat sidang media bersama selepas pertemuan mereka.

Ia berbeza dengan lawatan Perdana Menteri singapura Lee Hsien Loong minggu lalu, di mana mereka berdua membuat sidang media bersama dan Lee juga menginap di Blair House ketika di sana.

Najib berkata beliau tidak membuat bayaran apa-apa untuk pertemuan itu, tidak seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa berbuat demikian untuk bertemu George W. Bush ketika menjadi perdana menteri.

Lihat Komen