malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
160,000 terjejas akibat Sungai Johor dicemari ammonia
ADS

SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) sekali lagi mengesan kandungan ammonia dalam Sungai Johor, yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Semangar dekat Kota Tinggi terpaksa dihentikan sejak lewat malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill Jamaluddin Jamal berkata alat pemantauan kualiti air mengesan kandungan ammonia itu pada kira-kira 11 malam tadi, menjadikannya kejadian ketiga yang direkodkan sepanjang tahun ini.

"Kualiti air yang dibekalkan SAJ Ranhill menjadi keutamaan dan ekoran itu, piawaian paras ammonia yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pada paras 1.5 ppm perlulah dipatuhi,” katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata pihak SAJ Ranhill terpaksa mengambil keputusan untuk tidak merawat air mentah terbabit yang mengandungi kandungan ammonia yang tinggi mencapai tahap 2.75 ppm.

Jamaluddin berkata LRA Semangar merupakan loji utama yang menyalurkan air terawat ke sebahagian kawasan Johor Bahru dan Kulai.

Beliau berkata pihak SAJ Ranhill terpaksa menghentikan operasi loji itu supaya kesan ammonia berkenaan tidak masuk ke dalam sistem rawatan air bersih dan menganggu kualiti air diterima oleh pengguna. Sehubungan itu, beberapa kawasan sebahagian Johor Bahru dan Kulai mengalami gangguan bekalan air yang melibatkan 160,000 akaun.

Antara kawasan terlibat ialah Rancangan Tanah Pemuda, Taman Impian Jaya, Jalan Senai-Seelong, Kolej Selatan, Taman Impian Emas, Taman Sri Putra, Taman Impian Skudai, Taman Kempas Indah, Taman Khaya Village, Setia Business Park 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kawasan-kawasan perumahan serta perindustrian Senai. Gangguan bekalan air turut melibatkan kawasan sekitar Kulai, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, kawasan sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pulai Spring Golf Resort. Majlis Bandaraya Johor Bahru Tengah, Forest City, Kota Iskandar dan beberapa kawasan lain di Gelang Patah juga mengalami gangguan bekalan air,.

-Bernama

Lihat Komen