malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemaju diberi masa seminggu untuk jumpa pembeli
ADS

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberikan tempoh seminggu kepada pemaju projek perumahan di Tanjung Bungah yang ditimpa tanah runtuh Sabtu lalu, untuk mencapai persetujuan dengan pembeli unit projek itu.

Beliau berkata kerajaan negeri akan campur tangan jika pemaju, Taman Sri Bunga Sdn Bhd gagal mencapai penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak dengan kira-kira 500 pembeli yang kini dalam keadaan buntu sama ada untuk meneruskan pinjaman mereka.

"Kami akan masuk campur jika mereka gagal melakukannya dalam tempoh itu. Kami sentiasa di pihak pembeli," katanya pada sidang media semalam.

Mengulas kenyataan itu, pemaju berkata pihaknya sanggup untuk bertemu dengan pembeli, dan menggesa mereka untuk tampil ke hadapan.

"Sebagai pemaju yang bertanggungjawab, kami sentiasa mahu memberikan khidmat terbaik kepada pembeli, dan menjamin setiap keraguan dan kebimbangan mereka akan ditangani secara baik," kata syarikat itu dalam kenyataan, semalam.

Taman Sri Bunga Sdn Bhd adalah anak syarikat Boon Siew Group.

Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah Teh Yee Cheu menggesa kerajaan negeri masuk campur bagi menyelesaikan masalah pembeli.

Contohi Hong Kong, Singapura

Ketika kerajaan negeri sedang menimbang untuk mengenakan moratorium terhadap pembangunan lereng bukit di sana, seorang aktivis veteran sebaliknya mencadangkan kerajaan mewajibkan pembinaan tembok penahan sebagai untuk projek seumpama itu.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia Pulau Pinang (PPPM) Koris Atan berkata, tembok itu sebenarnya harus dibina sebelum proses pemasangan cerucuk di tapak projek.

"Syarat ini perlu dikenakan kepada semua pemaju apabila mereka memohon kelulusan, mereka perlu memasukkannya dalam pelan sebelum proses pemasangan cerucuk bermula," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 24 Oktober lalu, exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow berkata kerajaan akan menimbang untuk mengenakan moratorium, susulan tanah runtuh yang meragut 11 nyawa itu.

Koris memberikan contoh pembangunan lereng bukit di Sungapura dan Hong Kong, di mana tembok penahan merupakan syarat bagi permohonan pembinaan.

"Ia adalah perkara pertama yang perlu dilakukan untuk melindungi keselamatan pekerja dan tapak projek. Ia mungkin meningkatkan kos kepada pemaju, tetapi itulah harga yang perlu dibayar untuk membolehkan projek anda diluluskan.

"Kebajikan pekerja, sama ada tempatan atau asing, juga perlu diambil kira. Perlu ada rancangan jelas tentang bagaimana pemaju ingin menangani perkara itu pihak berkuasa tempatan memberiakn kelulusan," katanya.

Beliau juga menggesa pemaju diwajibkan mematuhi garis panduan hak asasi manusia dalam menjamin kebajikan pekerja.
 

Lihat Komen