malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keluarga mangsa tanah runtuh serah pada pihak berkuasa
ADS

Keluarga penyelia tapak projek Yuan Kuok Wern, 27, yang maut dalam tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di Pulau Pinang, Sabtu lepas menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sebelum pihaknya mengambil sebarang tindakan.

Jurucakap keluarga mangsa, David Giam, 57, berkata mereka percaya pihak berkuasa dan kerajaan negeri Pulau Pinang akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian yang mengorbankan 11 pekerja di tapak pembinaan itu.

"Memang pada mulanya keluarganya sukar menerima insiden yang menimpa Yuan dan masih bersedih namun kini mereka reda serta boleh menerima kehilangan anak sulung dari dua beradik itu. Kami akan sentiasa merindui Yuan.

"Ketika ini keluarga menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu kerana mereka percaya siasatan itu dijalankan oleh pihak profesional dan pakar.

"Selepas selesai (siasatan) baru keluarga akan fikirkan tindakan susulan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah keluarga Yuan, di Sungai Ara dekat George Town, hari ini.

Terdahulu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) cawangan George Town menyerahkan pampasan pengurusan mayat berjumlah RM2,000 kepada waris Yuan.

Pencen bulanan sepanjang hayat

Pengurus Perkeso George Town Shaharuddin Waled berkata ibu bapa Yuan juga akan menerima pencen bulanan sepanjang hayat berjumlah RM1,062 sebulan.

Sementara itu, ibu Yuan, Yeow Chooi Keng, 61, yang menerima cek berkenaan hanya mampu mengucapkan terima kasih dan terus masuk ke dalam rumah serta kelihatan sugul.

Dalam kejadian di tapak pembinaan di Jalan Lembah Permai di Tanjung Bungah, Yuan, 27 , dan 10 pekerja asing maut apabila tanah runtuh menimbusi kawasan itu ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di situ.

David berkata upacara persemadian Yuan akan dilakukan di Krematorium Batu Gantung, di sini pada 11 pagi esok.

"Yuan akan sentiasa di hati kami semua sampai bila-bila dan tidak mungkin kami lupakannya kerana dia seorang anak dan rakan yang baik," katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen