malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sindiket pelacuran guna aplikasi Wechat di T'ganu tumpas
ADS

Satu sindiket pelacuran ‘bergerak’ melibatkan warga asing berjaya ditumpaskan polis Terengganu dalam satu serbuan Ops Noda di sebuah hotel di bandar raya ini Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata dalam serbuan berkenaan, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun dan seorang wanita warga Vietnam berumur 18 tahun ditahan dalam operasi pada pukul 12.30 tengah malam itu.

“Sindiket dipercayai telah beroperasi selama seminggu di sini dan menggunakan enam akaun aplikasi ‘WeChat’ berbeza bagi memancing pelanggan di sekitar bandar raya ini untuk khidmat seks yang ditawarkan mereka.

“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan sebelum ini turut menjadi buruan di dua lokasi berbeza iaitu di Kedah dan Kuala Lumpur dan hanya akan beroperasi di satu lokasi selama seminggu atau dua minggu sebelum bertukar ke lokasi yang lain.

Wanita warga Vietnam yang ditahan dipercayai mangsa pemerdangan orang dan kini diletakkan di bawah perlindungan pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Sita van, wang tunai

Fazlisyam berkata, polis turut menemui sejumlah kondom, menyita sebuah van dan wang tunai RM380 yang dipercayai hasil khidmat seks yang diperoleh dari pelanggan dalam serbuan itu.

“Kesemua suspek kini ditahan reman dari 24 hingga 29 Okt ini dan kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Dalam pada itu Fazlisyam berkata polis Terengganu hari ini mengeluarkan 50 lagi senarai nama ‘orang dikehendaki’ berumur dalam lingkungan 16 hingga 49 tahun menerusi laman sosial Facebook bagi membantu siasatan kes melibatkan jenayah harta benda.

Katanya, sejak pihak polis membuat hebahan pencarian orang dikehendaki menerusi Facebook sejak September lalu, kira-kira 20 peratus atau 100 daripada 600 orang yang dicari berjaya dikesan bagi membantu siasatan pelbagai kes jenayah di negeri ini.

“Kejayaan ini tidak dinafikan turut mendapat kerjasama daripada orang ramai yang membantu memberi maklumat kepada pihak polis bagi mengesan orang-orang yang dikehendaki. Justeru, program ini akan diteruskan hingga pihak polis berjaya menyelesaikan semua kes melibatkan pihak yang dicari,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen