malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ditindas kerana agama, Rohingya tetap teguh dengan Islam'
Diterbitkan:  Oct 26, 2017 1:42 PM
Dikemaskini: 5:48 AM
ADS

Lawatan Datuk Dr Asri Zainul Abidin ke Bangladesh bertemu pelarian etnik Rohingya baru-baru ini ternyata menyentuh hati mufti Perlis itu, antaranya berkenaan ketaatan golongan tertindas itu terhadap agama.

Menurutnya, antara perkara yang dilihat ketika lawatan itu adalah kebanyakan wanita Rohingya yang beragama Islam menutup aurat mereka.

"Bahkan ada yang berpurdah. Tidak mereka ingin menukar identiti mereka. Demikianlah zahir mereka yang kita lihat.

"Teramat dahsyat ujian ke atas diri mereka kerana mereka Muslim. Pun begitu, mereka tegar mengaku Islam agama mereka," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Kira-kira seminggu lalu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi Asri dan Majlis Agama Islam Perlis mengadakan lawatan ke kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

Maips dilaporkan membina lima masjid di sana bagi kemudahan pelarian Rohingya yang beragama Islam.

Beliau berharap umat Islam di Malaysia dapat menjadikannya sebagai pengajaran untuk sentiasa berpegang kepada agama.

"Buat mereka doa dan simpati kita sebagai saudara seagama. Semoga wanita kita juga demikian tegar memegang agama," katanya lagi.

Menurut laporan, sejak tercetusnya ketegangan terbaru dengan tentera di Rakhine, Myanmar, kira-kira dua bulan lalu, sejumlah 604,000 etnik Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh.

Dengan ribuan yang memasuki sempadan Myanmar-Bangladesh setiap hari, jumlah pelarian yang masuk ke negara itu dijangka mencecah sejuta dalam masa beberapa minggu lagi.

Menurut laporan Reuters 24 oktober, Myanmar dan Bangladesh mencapai persetujuan untuk bekerjasa dalam usaha membolehkan pelarian kembali ke kampung halaman mereka dengan "selamat dan bermaruah".

Lihat Komen