malaysiakini logo
story-image
ADS

Pengasas Invoke Rafizi Ramli hanya meremehkan usaha blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris untuk menghalangnya daripada terus menggunakan nama dan logo badan kajian itu.

Rafizi berkata, walaupun Wan Muhammad Azri, atau popular dengan nama Papagomo, telah mendaftarkan nama Invoke Solutions dan logonya, beliau masih perlu mendapatkan arahan mahkamah untuk menghentikan penggunaan jenama itu.

"Dia daftarkan jenama Invoke, tetapi apa yang dia tidak sedar adalah untuk menghentikan Invoke sebenar daripada menggunakan nama dan logo, dia perlu saman kita.

"Dan lawak untuk memikirkan yang dia mampu mengambil peguam untuk saman kita," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau memetik kenyataan Wan Muhammad Azri sendiri ketika sidang medianya yang beliau tidak mampu untuk mengambil peguam bagi mewakilinya dalam rayuan terhadap kes saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media itu, Wan Muhammad Azri mendedahkan telah mendaftarkan nama dan logo Invoke dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), selepas menyedari Rafizi belum berbuat demikian.

Ia sebahagian daripada usaha untuk meraih dana bagi membayar kira-kira RM900,000 kepada Anwar selepas kalah dalam kes saman fitnah itu.

Peguam Anwar telah memfailkan notis untuk mengisytiharkan Wan Muhammad Azri sebagai muflis jika beliau gagal membayarnya.

Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata, beliau enggan melayan tindakan blogger itu.

Jika Wan Muhammad Azri mendapat sokongan daripada Umno untuk menyaman Invoke, Rafizi berkata beliau yakin dapat memenangi perbicaraan di mahkamah.

Katanya lagi, tindakan menyaman Invoke hanya akan menaikkan imej badan itu, justeru membantu mereka meningkatkan sokongan dan sumbangan dana.

Rafizi menubuhkan Invoke pada September tahun lalu, sebagai badan yang mengadakan tinjauan dan kerja-kerja sukarela.
 

Lihat Komen