malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Selepas 1MDB, soalan tentang pelaburan China pula ditolak
ADS

Selepas Dewan Rakyat menolak soalan anggota parlimen pembangkang berhubung 1MDB dan lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat, hari ini giliran soalan berkaitan pelaburan China pula menerima nasib sama.

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, soalan lisannya ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak, berhubung jumlah tanah di Malaysia yang telah dijual kepada pelabur dari China.

Bagaimanapun soalan itu ditolak Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee.

Mahfuz berkata beliau kecewa dengan tindakan itu dan mendakwa ia menunjukkan anggota parlimen tidak lagi boleh bersuara di Dewan Rakyat.

"Saya kecewa dengan alasan penolakan, dinyatakan pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa sangkaan, tohmah, keji atau mengandungi kalimah menyindir atau menyakitkan hati.

"Atau apa-apa perkara dangkal dan meminta penerangan bagi perkara remeh," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 23 Oktober lalu, HARAPAN berkata sepuluh soalan anggota parlimen mereka pada sidang kali ini berhubung 1MDB dan lawatan perdana menteri ke Amerika Syarikat telah ditolak.

Antara soalan itu adalah sama ada kerajaan membantu 1MDB dalam membayar RM600 juta kepada International Petroleum Investment Co (IPIC), dan sama ada perdana menteri membangkitkan isu aset berkaitan 1MDB yang dirampas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat agar dikembalikan kepada Malaysia ketika pertemuannya dengan Presiden Donald Trump.

Soalan lain yang ditolak adalah tentang kos yang ditanggung kerajaan bagi membiayai lawatan perdana menteri ke Amerika Syarikat, termasuk penginapan delegasi di Trump International Hotel.

Mahfuz berkata lagi, soalan yang ditanyakannya berasas dan bukan perkara remeh.

"Ia bukan bersifat sangkaan atau tohmah, saya tak puji atau mengeji, tetapi saya mahu dapatkan fakta dan angka, atau kerajaan tidak menjual atau memindah milik walau seinci tanah kepada pelabur China.

"Soalan itu mudah dan jawapan pun mudah, kalau ada (penjualan) kena beritahulah berapa yang telah dipindah milik atau dijual," katanya lagi.
 

Lihat Komen