malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS Kelantan: Kami tak langgar undang-undang, akhlak
ADS

Pemuda PAS Kelantan berkata tindakannya memasang bendera di Wisma Tok Guru 22 Oktober lalu tidak melanggar undang-undang mahupun prinsip akhlak, atas sebab bangunan tersebut sememangnya milik mereka.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang tidak mematuhi undang-undang dan akhlak kerana terus menduduki bangunan itu.

Beliau membangkitkan kenyataan Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa yang pihaknya akan membawa kes itu ke mahkamah untuk terus menggunakan bangunan itu yang terletak di Salor, Kota Bharu.

"Ertinya ia belum difailkan. Justeru sehingga hari ini, jual beli dan pemilikan adalah sah.

"Jadi undang-undang mana yang menghalang kami memacakkan bendera di luar bangunan yang sudah sah menjadi hak milik Badan Perhubungan PAS Kelantan, melalui setiausaha kerja sebagai pemegang amanah?" soalnya dalam kenyataan yang dikongsikan kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Husam juga menyifatkan tindakan Pemuda PAS itu sebagai "rendah akhlak" dan "kebudak-budakan".

Setakat hari ini, polis sudah menerima 3 laporan polis berhubung insiden 'serbu' itu, dengan dua laporan dibuat penyokong AMANAH dan satu lagi penyokong PAS.

Fadhli juga membidas tanggapan tindakan itu sebagai tidak berakhlak kerana tiada provokasi dilakukan, sebaliknya AMANAH yang menduduki bangunan tersebut yang melanggar prinsip akhlak.

"Berakhlakkah pihak yang jelas mengambilalih bangunan yang dibina atas titik peluh penderma kepada PAS? Kemudian mengecatnya dan memasang bendera parti mereka.

"Ia telah menghiris hati ramai di kalangan PAS, khususnya di Salor yang berusaha membangunkannya sebagai markas PAS," katanya lagi.

Kemelut tanah dan bangunan itu bermula pertengahan bulan ini, apabila AMANAH Kelantan menerima notis mengosongkan bangunan yang dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan itu.

Difahamkan, tanah itu milik balu kepada bekas ADUN Salor, allayarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim. Namun ia dikatakan sudah dibeli oleh Setiausaha Kerja PAS Kelantan Mohamad Yasin Yusof.

Husam sebelum ini berkata akan mencabar notis itu di Mahkamah, dan mendakwa Rosli memberi kebenaran bertulis kepadanya untuk menggunakan "bangunan dan tanah itu sampai bila-bila".
 

Lihat Komen