malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shahrir: Tiada syarikat baru ditubuhkan FIC di London
ADS

Felda menegaskan tiada penubuhan syarikat baru yang beroperasi di London oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) seperti didakwa pembangkang.

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli telah membuat satu tuduhan yang berat dengan mendakwa kononnya FIC menubuhkan sebuah syarikat baharu bertarikh 17 Okt 2017.

Beliau berkata Rafizi membuat andaian itu dengan hanya melihat gambar satu dokumen ketika sidang media Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim di Putrajaya pada Ahad lepas berhubung FIC yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya naib presiden PKR itu mengandaikan tarikh yang tertera pada dokumen itu sebagai penubuhan syarikat, namun sebenarnya ia adalah pengesahan daripada pihak peguam terhadap satu salinan sijil saham sebuah syarikat yang telah ditubuhkan sejak 2015.

"Beliau (Rafizi) tersilap merujuk kepada laporan akhbar dan memahami tarikh 17 Okt itu sebagai tarikh penubuhan syarikat baharu, tetapi sebenarnya merujuk kepada tarikh salinan sijil saham oleh sebuah syarikat peguam di London, Anthony Louca Solicitors,'’ katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Semalam, Rafizi menerusi blog dan Facebooknya mendakwa bahawa sebuah syarikat baharu ditubuhkan oleh FIC berdasarkan dokumen yang ditunjukkan oleh Razali Ibrahim dalam sidang media di Putrajaya pada Ahad lepas.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi, Shahrir berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah FIC, esok.

-Bernama

Lihat Komen